Saturday 5 May 2012

UiTM Timbang Buang Khalid Ismath


SHAH ALAM 4 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menimbang untuk mengambil tindakan tatatertib termasuk membuang pelajarnya, Khalid Mohd. Ismath sekiranya didapati terlibat mengugut mahu membunuh semua anggota polis melalui kenyataan dalam akaun Facebook miliknya.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tindakan tersebut merupakan antara dalam perhatian pihaknya memandangkan apa yang dilakukan oleh Khalid itu melanggar undang-undang negara selain mencemarkan nama serta imej UiTM.

Beliau berkata, selain dikatakan membuat ugutan tersebut, Khalid yang juga pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang UiTM, dikatakan turut terlibat dengan demonstrasi Bersih 3.0 yang menyebabkan tercetusnya insiden keganasan.

"Ketika ini, kes ugutan berkenaan masih lagi dalam siasatan polis dan kita masih tunggu hasil siasatan itu. Pada masa yang sama, UiTM sendiri sedang mengumpul data dan maklumat kukuh mengenai tindakan Khalid itu.

"Sekiranya dia terlibat dan melanggar undang-undang negara serta peraturan universiti, kita boleh gunakan Akta 174 iaitu Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dia termasuklah tindakan menyingkirkannya dari UiTM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Kamal Maarof Abd. Jamal, wakil Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pelajar UiTM yang dikenali sebagai Waris Wawasan.

Pengerusi Waris Wawasan, Mohd. Noraizat Norazam pula berkata, pihaknya mengemukakan memorandum berkenaan bagi meminta pihak pengurusan UiTM mengambil tindakan tegas terhadap Khalid yang menjatuhkan maruah dan imej para pelajar universiti itu dengan mencabar undang-undang negara.

Selain menuntut tindakan tegas terhadap Khalid kata beliau, pihaknya turut mengemukakan memorandum kepada kerajaan negeri agar menghentikan pemberian dana serta sokongan kepada sebuah pertubuhan haram yang dipimpin Khalid.

"Pertubuhan haram itu tidak berdaftar dengan UiTM dan bukan pertubuhan yang mewakili pelajar UiTM," ujarnya.

Bulan lalu, Khalid yang merupakan Naib Pengerusi pertubuhan haram itu telah mengeluarkan kenyataan: "Saya setuju jika semua polis dibunuh. Kerana begini caranya mereka melayan rakyat. Jadi setiap kali demo, tidak ada rundingan dengan polis lagi. Lawan tetap lawan."

Khalid yang menjadikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai idola, mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas dia terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0.


No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!