Wednesday 6 November 2013

Peranan Sebenar MPP Adalah Memimpin Mahasiswa Dengan Cara Yang Terpimpin

Selepas membaca artikel “MPP Tidak Penuhi Peranan Sebenar”, kami berasa terpanggil untuk menerangkan beberapa perkara atau tanggapan yang mungkin tidak jelas kepada Saudara Muhd Aiman bin Ahmad Faudzi, JK Kajian dan Informasi PEMBINA. Pada pendapat kami, tidak ada salahnya pendapat yang dinyatakan oleh beliau tetapi kritikan tersebut kurang baik dan ada sesetengahnya kurang berasas.

Pernakah beliau sebenarnya terfikir akan modus operandi yang digunakan oleh pihak MPP untuk mendukung hasrat universiti dan negara di dalam memacu pemikiran dan pergerakan mahasiswa? Pada hemat kami, antara peranan MPP zaman kini adalah untuk memastikan pergerakan mahasiswa sentiasa berada di dalam keadaan terpimpin dengan penubuhan organisasi persatuan, kelab, dan majlis tertinggi kolej residen di kampus. Pergerakan terpimpin menunjukkan perbadanan mahasiswa yang sistematik secara keseluruhannya. Seperti yang sedia maklum, MPP memayungi kesemua organisasi persatuan pelajar di dalam kampus dan bertitik tolak dari hal itu, MPP akan mengenalpasti fungsi khusus sesuatu persatuan tersebut lantas melakukan delegasi tanggungjawab untuk mereka mencaknakan sesuatu isu dan melakukan program yang berkaitan.

Realitinya, mahasiswa kini lebih bersifat dinamik mengikut pilihan dan acuan minat masing-masing. Kepelbagaian pilihan ini juga adalah kesan daripada lambakan maklumat yang pantas di capaian internet. Kebanyakan mahasiswa proaktif akan menyumbangkan tenaga dan pengetahuan intelektual mereka pada saluran yang dipilih. Ingin kami tekankan kelebihan delegasi tanggungjawab akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin mahasiswa yang komited berbanding pengikut, meningkatkan nilai tambah kepada kepimpinan mereka serta peningkatan kecekapan di dalam menyempurnakan tugasan. Kesannya, ia mampu mencipta pemimpin yang hebat di arenanya sendiri.

Antara saranan saudara Muhd Aiman untuk memperkasakan peranan MPP dalam kalangan mahasiswa di kampus universiti telah lama pun dilaksanakan oleh beberapa persatuan di kampus contohnya penglibatan aktif NGO Antarabangsa bersama persatuan pelajar yang dikenali sebagai AIESEC dan Enactus yang cenderung di dalam "social entrepreneurship". Malah penglibatan aktif oleh 1M4U secara langsung bersama belia daripada kalangan mahasiswa adalah antara interaksi paling dekat bersama masyarakat di Malaysia. Beratus-ratus program kesukarelawanan yang dianjurkan oleh mahasiswa IPT sendiri menggunakan dana daripada 1M4U telah dijalankan sepanjang tahun 2013. Selain itu juga, kerjasama yang terjalin antara MPP dan persatuan mahasiswa lain bersama penglibatan NGO Aqsa Syarif dan Aman Palestin di IPT adalah salah satu medium yang secara langsung menghubungkan mahasiswa dengan isu antarabangsa dan situasi ancaman umat yang saban hari menghiasi dada akhbar dan televisyen tentang siri kekejaman oleh Zionis Israel.

Manakala, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sesi 2012/2013 telah melaksanakan pelbagai inisiatif di peringkat global dan juga tempatan. Misalnya program “Bayu Peace Project” untuk memberi kesedaran terhadap serangan Lahad Datu dan mengajak mahasiswa untuk menjadi agen keamanan ketika negara dikejutkan dengan insiden serangan di Lahad Datu tempoh hari. MPPK bukan sahaja mengambil inisiatif untuk mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej keamanan dan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara, tetapi turut sama menjayakan Tabung Wira Lahad Datu dan menyampaikan bantuan kepada keluarga perwira yang terkorban ketika insiden tersebut.

Jelaslah disini bahawa mahasiswa zaman kini telah memainkan peranan yang sebenar tanpa perlu bergantung terlalu kuat kepada pucuk pimpinan yang teratas sekali dan ternyata mahasiswa di dalam negara tidak jauh ketinggalan mengikut keadaan semasa negara kita sekarang. Menjadi seorang pemimpin mahasiswa pada zaman sekarang adalah sangat mencabar dimana daya saing serta tekanan akademik menjadi kekangan utama untuk menjadi “superior student”. Harus juga diingatkan bahawa sistem pendidikan IPT di Malaysia berbeza dengan negara-negara lain. MPP perlu menjaga kebajikan umum pelajar di dalam segenap aspek, menghadiri mesyuarat bersama pihak pengurusan universiti dan persatuan mahasiswa dan pada masa yang sama, menghadiri kelas, menyiapkan tugasan kursus, membuat mengulangkaji untuk peperiksaan dan sudah tentu, menjaga keputusan PNGK.

Akhir sekali, tidak perlu bermegah untuk membawa nama MPP di dalam setiap isu yang cuba diketengahkan. Cukup untuk MPP mengingatkan dan memberi panduan terhadap organisasi yang berkaitan untuk sentiasa komited dan berada di jalan yang tepat. Jika MPP menggalas semua peranan ‘seorang diri’ seperti yang diperkatakan itu, kami khuatir situasinya akan jadi seperti kata pepatah, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.


Pendapat oleh:
Anis Binti Mohamed Khalidi
Bekas Exco Majlis Perwakilan Pelajar 2012/2013
Universiti Putra Malaysia

Wan Nurhidayat Bin Wan Muhamad
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar 2012/2013
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!