Wednesday 25 September 2013

Deligasi Indonesia Puji Malaysia di Nusantara

Jakarta dekat Universiti Indonesia, deligasi Indonesia memuji pendekatan mahasiswa Malaysia dalam menggunakan perspektif tertentu bagi mengubah tanggapan penuntut universiti itu terhadap hubungan Indonesia - Malaysia.

Perkara itu disebut oleh Saudara Angga Fauzan yang muncul sebagai peserta terbaik mewakili deligasi Indonesia dalam program Indonesia Leadership Camp - Nusantara Leadership Camp 2013 (ILC - NLC 2013) dekat sini pada 8 September lalu.

Jelas Fauzan, keserasian Indonesia - Malaysia dapat dirasai sepanjang perjalanan program dengan pembentangan usaha dan komitmen bersama selain menangkis tanggapan negatif terhadap hubungan Malaysia - Indonesia. 

Tambahnya lagi, dia amat tersentuh sebaik nyanyian lagu Negaraku didendangkan selepas nyanyian lagu kebangsaan negara republik Indonesia.

Menurut sumber, program tersebut berjaya mengumpulkan seramai 100 orang pelajar Indonesia, 20 daripada Malaysia dan 10 daripada Thailand dan Brunei yang ratanya merupakan pemimpin pelajar yang berprestasi dan berkomitmen tinggi.

Sementara itu, deligasi Malaysia yang diwakili oleh sekumpulan mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi Awam tidak kurang hebatnya apabila penuntut Universiti Teknologi MARA, Saudara Zaharin Haris muncul sebagai peserta ke-dua terbaik keseluruhan dalam mengimplimentasikan keusahawanan sosial dalam kalangan masyarakat.

Zaharin ketika disoal media Indonesia berkenaan cabaran ketika menghadiri program tersebut, dia hanya berseloroh sambil tersenyum menyatakan kegembiraan kerana diberi peluang berdiskusi bersama deligasi Indonesia selain mencetuskan perkongsian minda secara sihat dan positif.

Tidak berpada dengan itu, deligasi Malaysia sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di bumi Jakarta apabila dua kumpulan mereka muncul tempat ke-dua dan ke-tiga bagi kategori projek keusahawanan dan projek sosial.

Portal My Mahasiswa, dalam satu artikel yang ditulis oleh Saudara Fariz Razali, ada mengungkapkan keberhasilan ILC - NLC 2013 yang berjaya menangkis rasa curiga dalam kalangan deligasi Indonesia - Malaysia sebaik diberi peluang berkongsi pengalaman dan berdiskusi secara ilmiah sejurus mendorong kepada wujudnya tali silaturrahim yang baik antara dua negara.

Turut hadir memberi sokongan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Ezam Nor, serta beberapa orang kenamaan Indonesia dan Malaysia.

Program ILC - NLC 2013 yang berlangsung dari 4 sehingga 8 September itu adalah merupakan hasil kerjasama dari Direktorat Kemahasiswaan Universitas Indonesia, Institute of Leadership Development (ILeaD) dan Seketariat Transformasi Serantau (STS) Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!