Showing posts with label Akta 174. Show all posts
Showing posts with label Akta 174. Show all posts

Sunday, 28 April 2013

[Edisi Wajib Baca] Safwan Anang Tipu Mahasiswa UiTM

Assalamualaikum dan Salam perpaduan,

"Saya tidak pernah menyatakan, pihak kami menyokong mana-mana parti politik, Tidak! sama sekali," tegas aktivis jalanan, Safwan Anang, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, SMM merangkap mastermind kepada Gerakan Mahasiswa PRU 13.

Ungkapan manis penuh bermakna itu telah dilaungkan di hadapan mahasiswa UiTM Puncak Perdana pada 25 Mac 2013 dengan harapan mahasiswa UiTM bangkit menyertai gerakan mereka bagi menentang kerajaan sekarang pada PRU 13 ini.

Namun, video ini pasti akan mengecewakan sebahagian daripada rakan Middle Voices yang percaya dengan kenyataan Safwan Anang. Sayangnya, mahasiswa UiTM yang percaya akan kenyataan itu sebenarnya telah ditipu oleh mahasiswa jalanan seperti GM13.


"Saya melihat anda bersama-sama Anwar Ibrahim, bersama-sama pihak pembangkang dan PAS......itu yang anda katakan anda tidak terlibat dengan mana-mana parti pembangkang?" bidas Zaharin Haris, Pengerusi Sukarelawan Siswa4U UiTM.

Adakah ini yang dimaksudkan oleh ketua persatuan pelajar UiTM (Zaharin) ini suatu pembohongan?? gambar di bawah buktinya;

Safwan Anang bersama Husam Musa di ceramah PAS

Adam Adli, bersama Anwar Ibrahim begitu mesra!

Khalid Ismath, bergambar dengan penyokong tegar PKR dan DAP

GM13 tarik diri, sokong Pakatan Rakyat?

Prologue: Bukankah Safwan Anang dan rakan seperjuangan GM13 secara terang terangan menyokong parti pembangkang dan masih menafikannya? 

Apakah mahasiswa UiTM begitu 'kurang cerdik' untuk menilai perjuangan GM13 sehingga ada yang terpedaya dengan manifesto bukan janji yang diwar-warkan oleh mereka?

Safira Safri sedia maklum, penulisan ini kemudiannya seakan boleh dijangka menjadi suatu gelak ketawa yang kononnya berniat jahat untuk memfitnah GM13.

Namun sejauh mana fitnah itu diukur dengan pembaris, maka mahasiswa juga perlu mengukur kebenaran yang ditonjolkan juga dengan pembaris. Pakukan dalam minda agar faham situasi sebenar mahasiswa yang sedang ditipu aktivis jalanan yang kononnya non-partisan dan berjuang demi mahasiswa.

Harakah Daily pada 18 April sehari sebelum GM13 menyerang UiTM melaporkan bahawa GM13 menarik diri daripada meletakkan calon di Pekan kerana ingin memberikan sokongan kepada calon Pakatan Haram yang menentang Dato' Sri Najib Razak.

Esoknya, GM13 menyerang UiTM Shah Alam kononnya di universiti itu demokrasinya telah di batu dua kan. Malangnya, GM13 sayu kesedihan apabila gerombolan mahasiswa UiTM menerjah melemparkan seribu senyuman berbunyi "Anjing Pakatan".

Seminggu berikutnya, aktivis jalanan ini sekali lagi datang ke UiTM untuk menipu mahasiswa UiTM yang kononnya mereka tidak menyokong mana-mana parti politik.

Mengikut kronologi penipuan GM13 terhadap mahasiswa UiTM, jelas bahawa pelajar UiTM bukan sahaja ditipu, namun telah diperbodohkan oleh Khalid Ismath, yang juga merupakan pelajar buangan universiti melayu itu.

Menurut sumber, GM13 sebenarnya merupakan gerakan yang dirancang Anwar Ibrahim bagi menarik perhatian mahasiswa agar memilih Pakatan Rakyat dan menolak Barisan Nasional. Modus operandinya adalah bergerak sebagai kumpulan neutral atau juga digelar non-partisan.

Soalnya, mengapakah UiTM menjadi pilihan untuk dijadikan kontroversi? jawapannya adalah kerana mahasiswa UiTM merupakan fokus utama Pakatan Rakyat kerana bakal menjana hampir 50 ribu pengundi muda.

Namun, nasib GM13 sedikit bercahaya sebaik kedatangan mereka disambut meriah dengan puisi madah berhelah mahasiswa UiTM; "Bila mana orang tak suka dengan kita, bila mana orang tak selesa dengan kita, terimalah seadanya..." #Ehh... 

Kesannya, sebaik GM13 menemui jalan buntu, muncul pula satu kumpulan baru yang mempromosikan diri mereka sebagai non-partisan seakan mengiakan laporan Middle Voices berkenaan dengan MPP UiTM Pro Mahasiswa yang bertanding atas tiket Aspirasi.

MUSMA, Mahasiswa UiTM Sayang Malaysia yang merupakan gerakan terbaru mahasiswa UiTM dikepalai secara belakang tabir oleh bekas MPP UiTM sebelum YDP Sekarang. Siapa MUSMA?

Middle Voices melalui Safira Safri pernah ditanya akan mengapa tidak mengketengahkan suara mahasiswa jalanan seperti Khalid Ismath, Safwan Anang, Adam Adli dan beberapa ikon muslimah bertudung labuh yang turun ke jalanan untuk medapatkan perhatian dan publisiti murahan?

Safira Safri hanya menjawab sinis, "Siapa mereka untuk diketengahkan, sedang mereka hanyalah sekadar dijalanan...hebat dibibir berbicara, di sebalik tabir, cumalah seekor kuda tunggangan,"

#Shht...MUSMA akan menarik mahasiswa UiTM untuk menipu mereka kononnya mereka bergerak atas tiket neutral dan non partisan...mahasiswa UiTM bijak menilai! 

Wednesday, 20 March 2013

MPP UiTM; Akan Halang Jika Cuba Gugat Ketenteraman UiTM

Shah Alam, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA hari ini mengulas lanjut berkenaan tindakan sekumpulan mahasiswa dan bekas mahasiswa pro-pembangkang yang menjalankan Ops-Piliharaya Umum 13 di universiti melayu itu kelmarin.

Azraful, YDP MPP UiTM
Menurut Saudara Azraful, Yang Di Pertua badan perwakilan pelajar itu, Khalid Ismath berjaya menyelinap masuk ke dalam kampus dengan menaiki bas dan seterusnya turun di Kolej Melati dan menyusur masuk ke dalam kolej yang kemudiannya tembus ke Dataran Cendikia di mana lokasi seperti yang dirancang mereka.

Ketika ditanya lagi, melalui perbualan telefon berkenaan pandangan peribadinya dan pendirian organisasi perwakilan tersebut dengan tindakan sekumpulan mahasiswa universiti melayu itu yang menghalau serta memaki hamun pelajar buangan UiTM, Khalid Ismath dan rakan-rakannya, Azraful terus mengulas bahawa;


"bagi saya itu menampakkan semangat pelajar pelajar uitmlah sebenarnya, ye lah kadang-kadang dari segi emosi tu kita tak boleh kawal, bila macam rumah kita kene ceroboh mungkin tindakan sepontannya macam tu…biasalah bila rumah kene masuk orangkan..marahlah kan..itu standarad...mana-mana pun begitu..."


Azraful kemudiannya menambah lagi pendirian dan pandangannya apabila ditanya sekiranya jika Khalid Ismath dan rakan-rakannya bercadang untuk menjalankan modus operandi Pilihan Raya Umum 13 yang ke 2.0 memandangkan kejadian kelmarin menghampakan mereka yang terpekik sambil dihalau mahasiswa UiTM, Azraful tegas menjawab;

"Insya Allah lah kami dan warga uitm akan cuba menghalanglah perkara yang boleh mengganggu-gugat uitm seperti apa yang telah mereka lakukan sebelum ini..."

Azraful yang tegas turut menekankan berkali-kali tentang perilaku Khalid Ismath yang menceroboh masuk ke UiTM sejurus menimbulkan kekecohan dan kemarahan mahasiswa universiti itu sesuai dengan analogi penceroboh yang masuk ke rumah dan adatnya, tuan rumah akan marah.

Turut dibicarakan dalam talian bersama wakil media Middle Voices berkenaan tuduhan GAMUS yang melibatkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, jawab Azraful ringkas; 

"Saya tiada komen memandangkan mereka (GAMUS) tiada bukti kukuh.", keterangan Azraful seakan sekaligus menjelaskan bahawa tuduhan GAMUS hanyalah sebuah karangan berbentuk idea penulisan dan kreatif seorang penulis.

Sebelum itu, media melaporkan bahawa kelmarin pada 18 Mac 2013, Universiti Teknologi MARA dikejutkan dengan kemasukan bekas pelajar UiTM yang berstatus 'Buangan' atau 'Gantungan' bersama rakan-rakannya yang cuba menimbulkan kekecohan bagi mengajak mahasiswa mengundi Pakatan Pembangkang.

Walaupun laungan yang mengajak mengundi Pakatan Pembangkang tidak kedengaran tetapi jelas pembawakan hujah dan isi kandungan melalui omongan Khalid Ismath, Safwan Anang dan rakan jalanannya menterjemahkan agar mahasiswa mengundi Pakatan Pembangkang.

Menurut sumber juga, bahawa nama Majlis Perwakilan Pelajar universiti terlibat telah dipergunakan oleh SMM, Pro Mahasiswa dan mereka yang terlibat sebagai kononnya berkerjasama sebagai penganjur kepada program haram tersebut yang kemudiannya dinafikan badan perwakilan pelajar itu melalui laman sosial facebook mereka.

Tambahnya lagi, slogan "Ayuh menjadi mahasiswa mahasiswi" telah disalahertikan dan dipergunakan dan dipolitikkan oleh pihak tertentu (Pro-Mahasiswa Pembangkang) yang tidak bertanggungjawab.


"Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Kami di pihak Majlis Perwakilan Pelajar menafikan sebarang penglibatan dalam penganjuran Forum yang dikatakan akan berlaku pada malam ini (18/Mac/2013) di Dataran Cendikia UiTM shah Alam. Kami amat kesal dengan penggunaan konsep “Ayuh Menjadi Mahasiswa Mahasiswi” yang telah disalahgunakan serta dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab." -MPP UiTM Shah Alam

Komen tersebut menjurus kepada penyebaran poster program tersebut yang menggunakan slogan dan konsep ayuh menjadi mahasiswa mahasiswi seperti yang diwar-warkan badan perwakilan pelajar itu.

Lagi mengikut sumber berita, rombongan haram Khalid Ismath ke universiti melayu di Shah Alam gagal buat kali keduanya. Malah apa yang lebih memeranjatkan, mereka pendatang haram yang melaungkan demokrasi dan kebebasan hak bersuara mahasiswa dihalau bulat-bulat dengan sumpah seranah oleh mahasiswa UiTM yang secara kebetulan lalu berhampiran kawasan mereka berpidato.

#Tahniah mahasiswa UiTM kerana bangkit menentang pengkhianat di dalam UiTM. Tahniah MPP UiTM kerana menyatakan pendirian yang jelas dan tepat sesuai dengan pendirian mendukung Aspirasi universiti...UiTM Di Hatiku...

Tuesday, 9 October 2012

Rektor UiTM Perak Gagal Prihatin

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Seri Iskandar, Rektor Universiti Teknologi MARA Perak disarankan dan seharusnya lebih prihatin di dalam memberi kebenaran kepada mahasiswa universiti itu untuk mengadakan program berbentuk rekreasi di luar daripada kawasan kampus itu sekiranya akan melibatkan mana-mana parti politik terutamanya pembangkang.

Middle Voices mendapat maklumat daripada sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan pengurusan kampus kerana memberi kebenaran kepada sekumpulan pelajar yang dipercayai, ahli Kelab Rekreasi UiTM Seri Iskandar mengadakan aktiviti bersama Lajnah Alam Sekitar Muslimat PAS Perak.

Menurut seorang pelajar kampus itu, aktiviti berbentuk riadah dan gotong royong tersebut dijalankan bersama Parti Politik PAS manakala tetamu yang diundang bersama adalah Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najiha.

Selain itu menurutnya lagi, aktiviti yang berlangsung pada 6 Oktober lalu di Pasir Panjang Segari sebenarnya lebih kepada tindakan memprotes secara saraf kerana tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri yang meluluskan Projek Loji Simpanan LNG & Kilang Besi Maegma Steel selain cuba mendekati mahasiswa untuk menonjolkan sifat mereka yang kononnya prihatin terhadap alam sekitar.

Middle Voices sempat menemui seorang pegawai yang terlibat di dalam proses pindaan Akta 174 Pindaan 2012 yang dipinda supaya harmoni dengan pindaan 2012 Akta Universiti dan Kolej Universiti yang telah membenarkan mahasiswa berpolitik.

Menurutnya, pindaan terkini terhadap akta itu hanya membenarkan individu atau mahasiswa itu sendiri untuk berpolitik di luar kampus dan akta itu tidak pula memperuntukkan atau dengan jelas membenarkan persatuan mahasiswa atau badan pelajar yang ditubuhkan di bawah Seksyen 8(1), Akta Intitusi-Intitusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 untuk berkerjasama dengan mana-mana parti politik di dalam penganjuran program tertentu.

Pegawai tersebut yang memberitahu kepada Rakan Penulis Middle Voices kemudiannya meminta pihak Rektor UiTM Seri Iskandar menyiasat sama ada Kelab Rekreasi UiTM Seri Iskandar itu berdaftar atau tidak kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti itu atau bergerak secara haram sejurus mengiakan kewujudan Pro-Pembangkang di kampus tersebut.

Malah, sekiranya terdapat penipuan terhadap kebenaran menyertai program atau aktiviti, pihak Rektor juga seharusnya mengambil tindakan segera atau jika perlu menyeret mereka yang terlibat kepada proses tatatertib kerana khuatir sekiranya dakyah politik dan pembawakan ideologi menentang kerajaan ditanamkan di dalam minda mahasiswa di kampus melayu itu.

Prologue: Middle Voices melihat pendekatan yang digunakan oleh Lajnah Alam Sekitar Muslimat PAS Perak yang mengadakan aktiviti bersama mahasiswa UiTM Seri Iskandar sebagai satu tindakan yang cuba menyampaikan dakyah politik mereka secara perlahan-lahan.

Malah, isu yang diketengahkan seperti memprotes projek pembinaan logi sudah cukup menjelaskan bahawa mereka cuba menyampaikan ideologi mereka kepada mahasiswa terlibat agar bersama mereka untuk menyampaikan rasa tidak bersetuju kepada projek tersebut selain bercita-cita untuk merampas semula kerusi Kerajaan Negeri Perak menjelang PRU13.

Kepada mahasiswa UiTM Seri Iskandar, pastikan anda semua tidak terpedaya dengan ideologi kepimpinan PAS Perak yang ternyata gagal mempamerkan contoh yang baik selain pernah berlaku biadap kepada Raja Muda Perak semasa kemelut perlantikan Menteri Besar yang lalu.

Kata pujangga, "Jangan pula kamu menggigit tangan yang memberi makan" selain selayaknya mengenang jasa kerajaan yang telah sekian lama mempertahankan UiTM daripada disentuh dan dirobek oleh parti pembangkang yang menjadi pak turut kepada DAP yang jelas menentang melayu dan mempersoalkan kedudukan istimewa melayu.

#Mahasiswa UiTM, belajarlah untuk mengenang jasa dan bersyukur kerana orang yang memberi janggal untuk meminta dikenang, selain yang menerima harus faham sendiri...

Monday, 11 June 2012

UMNO Campur Tangan Jawatankuasa Tatatertib #UiTM Dengan Akta 174 Yang Zalim


Khalid Ismath di pentas PKR.

Seperti dijangka, hukuman penggantungan tiga semester yang dikenakan ke atas Khalid Ismath akan disambut dengan skrip biasa oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim. Mereka akan menyalahkan UMNO walaupun sudah terang-terang mereka sendiri yang melakukan kesalahan.

Seperti yang tersebar luas sebelum ini, Khalid Ismath menghadapi tiga pertuduhan berbeza yang semuanya berpunca daripada dirinya sendiri. Lihat di bawah.

Klik imej untuk paparan lebih jelas| Surat pertuduhan ke atas Khalid Ismath.

Klik imej untuk paparan lebih jelas| Surat pertuduhan ke atas Khalid Ismath.

Klik imej untuk paparan lebih jelas| Surat pertuduhan ke atas Khalid Ismath.

Justeru apabila jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto, mengeluarkan kenyataannya bahawa hukuman yang dikenakan oleh jawatankuasa tatatertib UiTM ke atas Khalid Ismath sebagai usaha terancang UMNO untuk menghapuskan suara mahasiswa pro-Anwar di UiTM, maka SB fikir ia satu lagi perang persepsi terbaru kumpulan mahasiswa tersebut untuk memburukkan parti keramat orang Melayu itu.

Tiga soalan mudah kepada tukang cakap Pro-Mahasiswa Nasional, Saudara Edikoup. Siapa yang arahkan Khalid ponteng kuliah, tutorial, ujian, kuiz sehingga dihalang mengambil peperiksaan? UMNO atau dirinya sendiri?

Siapa yang arahkan Khalid berdemonstrasi pada 14 April 2012 dan berkhemah di Dataran Merdeka? UMNO atau PKR? Berdemo sahaja tak apa lagi, tapi sampai terpekik terlolong memaki hamun pemimpin negara dengan biadap dan berkhemah tanpa kebenaran di tempat awam, itu pun masih dianggap hak asasi dan kebebasan bersuarakah?

Siapa yang arahkan Khalid keluarkan ugutan bunuh ke atas anggota polis Malaysia di dinding Facebooknya? UMNO jugakah?

Jika semua kesalahan ini dianggap mulia dan dipandang tinggi oleh Pro-Mahasiswa Nasional, maka memang ada yang tak kenalah dengan mereka ini.

Bagi SB, yang salah tetap salah. Jika ia sudah termaktub dalam perlembagaan maka kita kena hormat. Sesiapa pun yang buat salah di negara yang berperlembagaan seperti Malaysia ini tidak boleh terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk Khalid Ismath sendiri.

Jadi terima sahajalah keputusan tatatertib itu. 

SB : Jika marahkan UMNO sekali pun, salurkanlah secara betul dan bijaksana. Barulah layak digelar mahasiswa!

Sumber: Gerakan 13

Prologue: Artikel ini Safira Safri dapatkan melalui blog Gerakan 13, yang memperlihatkan kecetekan persepsi mahasiswa di dalam menilai sesuatu perkara secara sempit yang akhirnya meletakkan sesuatu kesalahan pada orang lain atau khasnya Kerajaan Barisan Nasional atau parti komponen terbesarnya UMNO.

Middle Voices jelas akan pembawakan artikel ini, namun soalan yang dikemukakan sebenarnya adalah kurang tepat kerana hanya bermain dikelompok pemikiran mahasiswa dan tidak diperluaskan lagi agar mahasiswa jelas akan siapa itu Khalid Ismath.

Soalan yang harus ditanya oleh Gerakan 13 adalah:


Siapakah yang memberi jaminan dan saraan khidmat guaman sekiranya Khalid Ismath didakwa atau difitnah kononnya?

Siapakah yang menjadi tulang belakang pergerakan Khalid Ismath yakni memberi dana kepadanya untuk mengadakan pelbagai jenis demonstrasi serta segala perhimpunan mahasiswa?

Andai soalan ini dijawab sempurna tanpa kepala dan otak yang berat kepada ingin menyalahkan UMNO, nescaya mahasiswa dapat melihat akan apakah permainan dan timbal balik atau keuntungan yang Khalid Ismath dapat daripada setiap yang dilakukan.

Adakah untuk melihat Islam berkembang maju? TIDAK! kerana Khalid tidak langsung membawa imej islam kerana dia sentiasa emosi dalam berjihad jika usahanya ditafsir sebagai jihad.

Adakah untuk membebaskan mahasiswa daripada dakyah politik kotor? TIDAK! kerana Khalid merupakan nadi pergerakan mahasiswa yang digunakan oleh Anwar Ibrahim, Guan Eng dan Ambiga dalam menyampaikan maksud Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Adakah permainan ini cukup bersih dan adakah mahasiswa tertarik dengan permainannya? Dan soalan yang terakhir, dimanakah nilai nilai murni dan rohani seseorang mahasiswa seandainya kata-katanya hanya dibelenggu emosi, kejian manusia dan makian kepada orang yang lebih tua, malah menghina dan menjatuhkan air muka pemimpin negara? Adakah ini ajaran Islam?

#Mahasiswa yang akan tentukan...

Saturday, 9 June 2012

BENARKAH KHALID ISMATH PANDAI BERSYUKUR?




KHALID Mohd. Ismath, baru berusia 22 tahun, pelajar tahun 2 pengajian ijazah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Dalam YouTube, suaranya garing dan kasar. Ada ala-ala suara Anwar Ibrahim.

Budak berasal dari Klang ini cukup menyanjung tinggi S. Ambiga. Ambiga baginya ialah idolanya. Ambiga ialah penyelamat kumpulan mahasiswa.

Jika mendengar ucapannya dalam YouTube, UMNO dan Barisan Nasional ialah parti yang terlalu zalim dan maha zalim buatnya. Kerajaan sekarang terlalu buruk bagi pandangannya. Dia yang masih belajar ialah pelajar di sebuah universiti yang menerimanya masuk atas dasar dia seorang Bumiputera.

Universiti itu hanya menerima yuran RM500 semester, satu-satunya universiti yang mengambil yuran pengajian yang terendah di negara ini. Yang lain semuanya percuma. PTPTN hanyalah wang kocek sara hidup untuk lain-lain hal sepanjang semester pengajian.


Dalam YouTube juga, Khalid menggambarkan dia adalah hero kepada kaum mahasiswa. Semua yang berlaku dalam kampus dan negara ini salah belaka. Hanya dia sahaja yang betul. Hanya Ambiga sahaja yang betul. Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang menjadi pujaan hatinya.

UiTM yang mengasuhnya cukup tidak adil, haknya kononnya dicabul. Itulah kata-katanya yang dipetik dalam laman sesawang itu ketika menjadi wakil solidariti mahasiswa Malaysia semasa berucap di majlis pelancaran ABU (Asal Bukan UMNO) di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar, Kuala Lumpur, tidak lama dulu.

Khalid kononnya mendakwa bergerak secara bebas atas nama Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami). Namun dia tidaklah independen, dia sebenarnya ialah kader yang dilahirkan oleh parti pembangkang.

Jika mahu ditakrifkan apa itu anti-establishment, maka Khalid inilah anti-establishment. Semua baginya tidak betul, kecuali dia sahaja yang betul.

Sudah tentu Lim Guan Eng terlalu teruja dengan Khalid. Guan Eng dikatakan turun padang pada jam 2.30 pagi bagi memberi sokongan moral kepada Khalid dan rakan-rakannya, yang rata-rata Melayu, berkhemah di Dataran Merdeka itu. Guan Eng bukan sahaja bangga kerana Khalid anak Melayu, tetapi juga pelajar UiTM, sebuah institusi yang cuba dirobek-robek oleh mereka.

Terus terang saya katakan, saya amat bersimpati dengan Khalid. Dia mewakili mahasiswa yang sudah terjebak terlalu jauh dalam perjuangan peribadi Anwar Ibrahim dan DAP. Pas pula hanyalah Pak Turut yang tiada tujuan.

Guan Eng, Anwar dan Ambiga telah menggunakan mereka ini demi kepentingan peribadi masing-masing. Khalid nampaknya sudah terjebak jauh. Untuk berpatah balik, nampaknya terlalu sukar baginya. Maka alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

UiTM yang sepanjang tempoh lebih 40 tahun melahirkan anak-anak Melayu yang berjaya - hasil perjuangan UMNO yang dianggap zalim oleh Khalid - kini sudah mula melahirkan seorang insan yang sungguh tidak bersyukur seperti Khalid.

Namun, Khalid sebenarnya hanyalah segelintir. Terlalu ramai lagi bekas-bekas pelajar UiTM, yang diterapkan dengan lagu keramat Anak Kecil Main Api di zaman rebungnya, tidak akan melupakan pengorbanan yang dicurahkan kepada mereka semua oleh institusi itu.

Mereka semua bersyukur dengan apa yang mereka kecapi hari ini. Khalid hanya baru belajar bertatih dalam dunia sebenar, tetapi telah memilih satu persimpangan yang dianggapnya betul, tapi melencong.

Wahai, Khalid Mohd. Ismath. Cara perjuangan kamu sebenarnya terlalu angkuh. Suara kamu berbunyi bongkak dan takabur. Butir-butir kata yang diberikan kamu dalam YouTube itu terlalu dangkal. Kamu menganggap kamulah pelajar yang paling hebat di negara ini.

Bukan tujuan tulisan ini untuk mengangkat kamu. Tapi untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain supaya kita harus bersyukur dengan nikmat yang telah dicurahkan kepada kita semua di bumi bertuah ini. Selagi hayat ini dikandung badan, selagi itulah, insya-Allah, orang seperti Khalid akan terus mendapat pembelaan. Selagi itulah tempatnya untuk menuntut ilmu di UiTM, institusi pengajian tinggi keramat orang Melayu ini akan terjamin.

Ingatlah Khalid, negara kita kini terlalu aman damai hasil perjuangan para pemimpin terdahulu dan semasa. Sejak negara di ambang kemerdekaan dan selepas mencapai kemerdekaan corak negara ini banyak dimainkan oleh para pejuang itu sehinggalah kestabilan dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Kini rakyat seperti saudara boleh bergerak bebas mencari rezeki atau ilmu.
Boleh ke masjid atau surau atau ke mana-mana sahaja berbanding dengan sesetengah negara lain di muka bumi ini.

Nikmat keselesaan hidup yang kita kecapi selama ini hendaklah kita gandakan dengan ibadat kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada-Nya, kerana dibimbangi nikmat yang kita kecapi selama ini berkemungkinan akan ditarik balik oleh-Nya.

Manusia yang disayangi Allah ialah manusia beriman yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Negara sudah aman dan maju, sebab itulah DAP, Pas, dan PKR sentiasa meracuni pemikiran saudara Khalid supaya membenci apa yang ada ini untuk kepentingan politik peribadi mereka.

Tapi sayang seribu kali sayang, Khalid sudah tersasar jauh. Pelajaran saudara pun tidak cemerlang. Hanya mampu memperoleh mata purata 2.3 dalam CGPA semester 2.
Amat sukar untuk saudara berpatah balik.

Sumber: Zaini Hassan

Friday, 8 June 2012

#UiTM ; Khalid Ismath Mulakan Revolusi Menentang Akta 174 Yang Zalim

Assalamualaikum.

Shah Alam, perbicaraan tatatertib bagi pertuduhan ke atas Khalid Ismath hari ini bermula dengan lancar. Hal ini adalah berikutan kawalan ketat oleh Polis Bantuan Universiti Teknologi MARA yang bertindak menghalang sesiapa sahaja termasuk pelajar UiTM untuk mendekati Kamar Perbicaraan di Bangunan Budisiswa UiTM Shah Alam demi untuk menjaga keharmonian dan keamanan bangunan pengurusan itu.

Sebaik sahaja selesai dalam jam 12.30  tengahari, Khalid Ismath yang dituduh dan disahkan bersalah telah dihukum mengikut Kaedah 48, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174 dengan hukuman gantung 3 semester pengajian dan tidak boleh mengambil mana-mana peperiksaan sepanjang dalam tempoh penggantungan termasuk peperiksaan yang terdekat pada semester ini.

Khalid yang baru sahaja keluar daripada kamar terus mendapatkan isterinya serta rakan-rakannya. Turut bersama ketika itu adalah aktivis jalanan Adam Adli, Safwan Anang dan kumpulan pelajar student power yang telah menapak di kawasan letak kenderaan bangunan perbicaraan tersebut sejak awal pagi lagi.

Khalid ketika menarik perhatian pelajar dan beberapa orang awam termasuk wartawan telah menyatakan bahawa, dia akan memastikan Akta 174 yang zalim itu semestinya akan dihapuskan sebaik sahaja Pakatan Rakyat, PR berjaya menawan Putrajaya.

"saya telah digantung 3 semester dan ini menunjukkan Akta 174 telah berlaku zalim kepada mahasiswa yang keluar melontarkan pandangan di luar" - Khalid Ismath

"PR akan pastikan bahawa Akta 174 yang zalim ini akan dihapuskan sebaik sahaja PR menakluki Putrajaya." ujarnya lagi kepada pemberita.

Sebelum itu, sekumpulan pelajar yang hadir bersama Gabungan Kelab Dalaman UiTM, Waris Wawasan bersama Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM turut hadir bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas Khalid Ismath.

Selepas itu, Waris Wawasan yang ditanya pemberita telah menyampaikan rasa berpuas hati dan bersyukur setelah tuntutan mereka agar pencemar nama baik UiTM dikenakan tidakan tatatertib telah pun didengari pengurusan universiti itu.

"Tahniah UiTM kerana berjaya mengambil satu tindakan tegas untuk dijadikan taudalan kepada semua pelajar dalam menjaga nama baik universiti dan imej mahasiswa di UiTM" katanya sebaik sahaja Khalid beredar dari sekitar bangunan perbicaraan.

#Keputusan yang dihormati oleh semua pelajar UiTM dianggap zalim oleh dia...mahasiswa yang menilai.

#UiTM; Esok Perbicaraan Tatatertib Khalid Ismath

Assalamualaikum dan salam perpaduan. UiTM sentiasa dihatiku.

Rakan Middle Voices sedia maklum, bahawa esok merupakan hari perbicaraan bagi mahasiswa UiTM yang juga merupakan penuntut Pengajian Undang-undang di universiti itu.

Mengikut sumber, Khalid Ismath telahpun membuat keputusan untuk hadir ke perbicaraan tersebut ketika memberi sedikit ucapan penutup pada sesi perbincangan PTPTN bersama Rafizi Ramli yang merupakan ahli politik pembangkang petang kelmarin.

Sebelum itu, Khalid Ismath telah dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar, Universiti Teknologi MARA untuk menghadiri satu perbicaraan melalui sepucuk surat pertuduhan bertarikh 24 Mei 2012 bagi menghadap 3 pertuduhan, iaitu;

Pertuduhan Pertama: Kerana tidak hadir ke kelas (Syarahan, Tutorial dan Ujian) selama 19 kali, (seperti yang dijadualkan) dan dituduh melanggar Kaedah 4, Jadual Kedua, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174.

Pertuduhan Kedua: Kerana telah membuat komen yang berbaur pencemaran ke atas imej dan nama universiti iaitu "Saya setuju jika semua polis dibunuh" dan;

Pertuduhan Ketiga: Kerana menunjukkan perbuatan yang tidak sopan dan tidak sepatutnya pada 14 April 2012 bertempat di sekitar kawasan Dataran Merdeka dengan menggunakan kata berbentuk ganas dan ugutan. "Jika tidak, tak lama lagi akan arwahlah Najib Tun Razak"; Komen yang tidak wajar ini telah membawa nama buruk kepada UiTM.

Kedua-dua pertuduhan (Dua & Tiga) ini adalah melanggar Kaedah 3 (a) Jadual Kedua, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174.

Sekiranya Khalid Ismath didapati bersalah di atas pertuduhan berikut, dia boleh dihukum dibawah Kaedah 48, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174.
Middle Voices berharap agar perbicaraan tersebut dapat berjalan dengan lancar dan diadili oleh panel tidak berkepentingan dengan adil dan saksama. 

Sebarang keputusan daripada panel di kamar perbicaraan mahkamah UiTM pada esok hari, seharusnya dihormati dan diterima baik oleh semua mahasiswa secara umumnya dan khasnya mahasiswa UiTM.

#Yang salah akan dihukum, yang benar akan terlepas...