Monday, 6 May 2013

Mahasiswa UNISEL Gembira; Bakal Terima Pendidikan Percuma

Assalamualaikum dan Salam perpaduan,

Keputusan resmi Pilihan Raya Umum ke 13 di Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan kemenangan besar Pakatan Rakyat dengan majoriti 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada jumlah keseluruhan sebanyak 56 kerusi DUN. 

Pakatan Rakyat diumumkan telah berjaya memenangi 44 kerusi manakala Barisan Nasional hanya berpuas hati dengan kemenangan 12 kerusi DUN di negeri itu. Menurut SPR, PAS dan DAP memegang jumlah kerusi yang sama sebanyak 15 manakala PKR menang sebanyak 14 kerusi DUN sahaja.

Kemenangan Pakatan Rakyat yang berjaya membentuk Kerajaan Negeri Selangor dengan majoriti 2/3 kerusi DUN merupakan suatu berita gembira buat seluruh mahasiswa Universiti Selangor kerana bakal dihidangkan dengan yuran percuma, elaun sara hidup serta penghapusan hutang PTPTN.

Wakil media Middle Voices ketika menghubungi salah seorang mahasiswa universiti itu diberitahu;

"Saya gembira dan sangat bersyukur...akhirnya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan negeri dengan 2/3 kerusi DUN, lagi-lagi mereka menjanjikan pendidikan percuma termasuk memberikan elaun sara hidup serta melunaskan hutang PTPTN mahasiswa UNISEL... Insya Allah," 

katanya yang gembira dengan pengumuman keputusan pilihanraya umum bagi DUN negeri Selangor. Mahasiswa tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Azrul turut mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat.

"....tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya mempertahankan Selangor sekali lagi," katanya lagi.

Prologue: Middle Voices berharap agar kemenangan 2/3 kerusi DUN Negeri Selangor oleh Pakatan Rakyat digunakan sebaik mungkin dalam mentadbir urus negeri dan mahasiswa di Universiti Selangor.

Janji Pakatan Rakyat bolehlah diaplikasikan atau lebih tepat ditunaikan terlebih dahulu di Universiti Selangor bagi meyakinkan rakyat bahawa manifesto Pakatan Rakyat bukanlah hanya satu janji manis yang ditabur hanya ketika pilihan raya dan menjadi kurap sebaik berjaya menakluki sesebuah kerusi.

Kepada mahasiswa UNISEL, tahniah kerana anda bakal terima pendidikan percuma daripada kerajaan negeri yang sekaligus mencipta dan melakar sejarah sebagai universiti pertama di Malaysia menerima pendidikan percuma secara total selepas Universiti Teknologi MARA.

#Pendidikan percuma merupakan hak mahasiswa UNISEL, tunaikan janji manismu...

Saturday, 4 May 2013

Ayuh Mahasiswa, Kita Turun Mengundi

Assalamualaikum dan Salam perpaduan,

Middle Voices ingin kongsikan bersama semua rakan siswa zon tengah sebuah video galakan turun mengundi. Jom turun mengundi...


#Ayuh mahasiswa, buatlah pilihan yang bijak, jom kita mengundi...

Tuesday, 30 April 2013

MUSMA Tipu Mahasiswa UiTM?? "Mahasiswa UiTM Ditipu Lagi"

Assalamualaikum dan Salam perpaduan.

Pengerusi MUSMA
Middle Voices sebelum ini telah mengeluarkan entri bertajuk Safwan Anang Tipu Mahasiswa UiTM, seperti yang dijangka, sekali lagi Middle Voices dituduh memfitnah kumpulan mahasiswa jalanan seperti GM13 yang telah cuba untuk memperdayakan mahasiswa UiTM.

Namun, bukti telah dikemukakan, hanya mahasiswa yang bijak akan menilainya dengan mata sendiri, dan bukannya membutakan mata, sambil mengeja 'mata' tetapi berbunyi 'mulut'.

Hari ini, Middle Voices sekali lagi akan berkongsi maklumat kepada mahasiswa UiTM, agar cakna dengan sekeliling mereka bahawa mereka sedang ditipu oleh kumpulan mahasiswa yang menjadi agen kepada Parti Pembangkang.

Ada yang bertanya, mengapa pergerakan GM13 dan MUSMA dipersoal, sedangkan Siswa4U juga bergerak menyokong parti Barisan Nasional, namun tidak pula dipersoal penulis Middle Voices?

Jawapannya mudah;

Siswa4U secara khususnya telah mengisytiharkan penglibatan mereka menyokong parti Barisan Nasional dan kepimpinan parti itu yang meletakkan mereka sebagai sukarelawan yang jujur, ikhlas dan tidak memperdaya mahasiswa di Malaysia.

Berbanding dengan GM13 dan MUSMA yang bergerak atas tiket mahasiswa dan tidak menjadi agen kepada mana-mana parti politik tanpa mengira haluan kanan ataupun kiri. Namun, apa yang berlaku adalah dusta semata-mata.

Saksikan tayangan di bawah dengan teliti;


"Jadi di sini ingin ditegaskan bahawa MUSMA bukanlah satu pertubuhan yang berpihak pada mana-mana parti politik di Malaysia ini" kata Huzaifah, Pengerusi MUSMA

Shah Alam, dekat Pasar Malam Padang Jawa bertarikh 26 April 2013, Pengerusi MUSMA, Saudara Mohd Huzaifah Mokhtar yang juga merupakan pelajar UiTM telah ditemui menyebarkan risalah berbentuk promosi kempen yang berpihak kepada Parti Islam Se-Malaysia.

Menurut sumber, Huzaifah yang ketika itu turun ke pasar malam tersebut bersama Khalid Samad, yang merupakan calon PAS bagi parlimen Shah Alam telah diarahkan untuk berbuat demikian. Turut serta menyebarkan risalah ialah bekas MPP UiTM Shah Alam, saudara Muhammad Syafiq.

Namun, tindakannya yang menyebarkan risalah PAS telah berjaya dihidu wakil media Middle Voices yang ketika itu turut berada di sana untuk membuat liputan. [rujukan]

Sementara itu, sukarelawan Siswa4U juga dilaporkan turun di pasar malam yang sama sekaligus berlakunya pertembungan antara sukarelawan Siswa4U dengan pengerusi MUSMA.

MUSMA yang merupakan gerakan baru atau pertubuhan baru di UiTM telah memberitahu media bahawa mereka tidak terlibat atau menyokong mana-mana parti politik. 

Namun, adakah dengan menyebarkan manifesto dan risalah undi PAS merupakan satu tindakan neutral atau non partisan atau tidak menyokong parti politik?

MUSMA pada sidang media yang sama turut menjelaskan bahawa pengamalan politik matang merupakan antara objektif pergerakan mereka dalam memberi kesedaran kepada mahasiswa UiTM.

Namun, apakah gambar Saudara Mohd Muin yang merupakan barisan hadapan dalam sidang media MUSMA ini mengamalkan politik matang?


"ayuh memilih politik matang" kata Mohd Muin, namun di sebalik ruang sesawang facebooknya tersergam indah kematangannya dalam mengamalkan pertuturan 'politik matang'.

"sokong umno dapat sampah" jelas bahawa etika amalan politik secara matang tidak diamalkan oleh barisan hadapan kepimpinan MUSMA, namun hanya manis dibibir, masam di anak tekak.

Prologue: Mahasiswa UiTM telah ditipu oleh GM13, dan kini sekali lagi kumpulan yang kononnya tidak menyokong mana-mana parti politik muncul untuk menarik mahasiswa UiTM.

Benarlah, kenapa mahasiswa UiTM menjadi tumpuan untuk diperdaya agen pembangkang dek kerana 50 ribu pengundi muda bakal menterjemahkan pilihan mereka pada 5 Mei ini.

Kepada mahasiswa UiTM, buatlah pilihan anda dengan bijak. Kajilah mereka yang matang dalam berpolitik, atau memilih mereka yang neutral tetapi berselindung disebalik parti pembangkang yang ingin meraih undi semata-mata.

Kepada MUSMA, bagaimanakah pertubuhan anda akan bebas ideologi menyokong parti politik jika hampir kesemua 'orang kuat' MUSMA merupakan kumpulan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Malah, seperti dijangkakan, Gabungan Mahasiswa Merdeka dan GM13 seakan mempunyai nama baru berbunyi MUSMA setelah menerima penolakan hebat daripada mahasiswa UiTM.

Mahasiswa tak perlu mengaku neutral atau non partisan jika ingin menyokong mana-mana parti politik kerana itu hak anda! namun, menipu mereka yang tidak berpolitik dengan taktik non partisan, sebenarnya andalah yang terdiri daripada mereka mereka yang terdesak akan sokongan. 

#UiTM sentiasa dihatiku, mahasiswa UiTM bijak memilih...

Sunday, 28 April 2013

Tun Mahathir, Punca Kekalahan Husam di Putrajaya

Assalamualaikum dan Salam perpaduan,

Putrajaya, dekat sini semalam tidak kurang 5000 pengunjung hadir bagi menyambut kehadiran Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bersama isterinya ke Pusat Daerah Mengundi Barisan Nasional di Presint 9, Taman Metropolitan.

Padat, dan penuh semangat! Hanya itu yang dapat digambarkan pada ketika semua pengunjung bersesak-sesak untuk mendengar ucapan Tun Mahathir walaupun berdiri di luar khemah semata-mata untuk mendengar ceramah umum daripada Tun Mahathir.

Mengikut perangkaan, seramai 80% pengunjung yang hadir adalah terdiri daripada ribuan penduduk di Putrajaya dan mereka sanggup datang dan tunggu Tun Mahathir sehingga selesai semata-mata untuk bersalaman dan mempamerkan sokongan mereka agar Barisan Nasional terus menerajui Putrajaya.


Wakil media Middle Voices sempat menemubual seorang pengunjung yang juga merupakan pengundi di Putrajaya berkenaan dengan kehadirannya disitu, katanya;

"saya memang tungu! sebab Tun M ni bagus, di ikon yang pertahan agama, bangsa dan tanah air, jadi saya kene tunggu dia..."

apabila ditanya berkenaan ceramah Ustaz Azhar Idrus yang dianjurkan di Putrajaya, dia terus berkata sinis sambil ketawa;

"PAS ni sajo suruh Azhar Idrus turun sebab takut orang hari ni lagi ramai daripada yang datang maso Nik Aziz turun, lagi deorang ni takut kalau-kalau Tun Mahathir jadi punca kekalahan Husam dekat Putrajaya ni..."

Turut hadir, Sukarelawan Siswa4U bagi mempamerkan sokongan mahasiswa kepada tokoh pembangunan negara Tun Dr. Mahathir sekaligus menjana semangat dacing dalam kalangan pengunjung.

[Edisi Wajib Baca] Safwan Anang Tipu Mahasiswa UiTM

Assalamualaikum dan Salam perpaduan,

"Saya tidak pernah menyatakan, pihak kami menyokong mana-mana parti politik, Tidak! sama sekali," tegas aktivis jalanan, Safwan Anang, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, SMM merangkap mastermind kepada Gerakan Mahasiswa PRU 13.

Ungkapan manis penuh bermakna itu telah dilaungkan di hadapan mahasiswa UiTM Puncak Perdana pada 25 Mac 2013 dengan harapan mahasiswa UiTM bangkit menyertai gerakan mereka bagi menentang kerajaan sekarang pada PRU 13 ini.

Namun, video ini pasti akan mengecewakan sebahagian daripada rakan Middle Voices yang percaya dengan kenyataan Safwan Anang. Sayangnya, mahasiswa UiTM yang percaya akan kenyataan itu sebenarnya telah ditipu oleh mahasiswa jalanan seperti GM13.


"Saya melihat anda bersama-sama Anwar Ibrahim, bersama-sama pihak pembangkang dan PAS......itu yang anda katakan anda tidak terlibat dengan mana-mana parti pembangkang?" bidas Zaharin Haris, Pengerusi Sukarelawan Siswa4U UiTM.

Adakah ini yang dimaksudkan oleh ketua persatuan pelajar UiTM (Zaharin) ini suatu pembohongan?? gambar di bawah buktinya;

Safwan Anang bersama Husam Musa di ceramah PAS

Adam Adli, bersama Anwar Ibrahim begitu mesra!

Khalid Ismath, bergambar dengan penyokong tegar PKR dan DAP

GM13 tarik diri, sokong Pakatan Rakyat?

Prologue: Bukankah Safwan Anang dan rakan seperjuangan GM13 secara terang terangan menyokong parti pembangkang dan masih menafikannya? 

Apakah mahasiswa UiTM begitu 'kurang cerdik' untuk menilai perjuangan GM13 sehingga ada yang terpedaya dengan manifesto bukan janji yang diwar-warkan oleh mereka?

Safira Safri sedia maklum, penulisan ini kemudiannya seakan boleh dijangka menjadi suatu gelak ketawa yang kononnya berniat jahat untuk memfitnah GM13.

Namun sejauh mana fitnah itu diukur dengan pembaris, maka mahasiswa juga perlu mengukur kebenaran yang ditonjolkan juga dengan pembaris. Pakukan dalam minda agar faham situasi sebenar mahasiswa yang sedang ditipu aktivis jalanan yang kononnya non-partisan dan berjuang demi mahasiswa.

Harakah Daily pada 18 April sehari sebelum GM13 menyerang UiTM melaporkan bahawa GM13 menarik diri daripada meletakkan calon di Pekan kerana ingin memberikan sokongan kepada calon Pakatan Haram yang menentang Dato' Sri Najib Razak.

Esoknya, GM13 menyerang UiTM Shah Alam kononnya di universiti itu demokrasinya telah di batu dua kan. Malangnya, GM13 sayu kesedihan apabila gerombolan mahasiswa UiTM menerjah melemparkan seribu senyuman berbunyi "Anjing Pakatan".

Seminggu berikutnya, aktivis jalanan ini sekali lagi datang ke UiTM untuk menipu mahasiswa UiTM yang kononnya mereka tidak menyokong mana-mana parti politik.

Mengikut kronologi penipuan GM13 terhadap mahasiswa UiTM, jelas bahawa pelajar UiTM bukan sahaja ditipu, namun telah diperbodohkan oleh Khalid Ismath, yang juga merupakan pelajar buangan universiti melayu itu.

Menurut sumber, GM13 sebenarnya merupakan gerakan yang dirancang Anwar Ibrahim bagi menarik perhatian mahasiswa agar memilih Pakatan Rakyat dan menolak Barisan Nasional. Modus operandinya adalah bergerak sebagai kumpulan neutral atau juga digelar non-partisan.

Soalnya, mengapakah UiTM menjadi pilihan untuk dijadikan kontroversi? jawapannya adalah kerana mahasiswa UiTM merupakan fokus utama Pakatan Rakyat kerana bakal menjana hampir 50 ribu pengundi muda.

Namun, nasib GM13 sedikit bercahaya sebaik kedatangan mereka disambut meriah dengan puisi madah berhelah mahasiswa UiTM; "Bila mana orang tak suka dengan kita, bila mana orang tak selesa dengan kita, terimalah seadanya..." #Ehh... 

Kesannya, sebaik GM13 menemui jalan buntu, muncul pula satu kumpulan baru yang mempromosikan diri mereka sebagai non-partisan seakan mengiakan laporan Middle Voices berkenaan dengan MPP UiTM Pro Mahasiswa yang bertanding atas tiket Aspirasi.

MUSMA, Mahasiswa UiTM Sayang Malaysia yang merupakan gerakan terbaru mahasiswa UiTM dikepalai secara belakang tabir oleh bekas MPP UiTM sebelum YDP Sekarang. Siapa MUSMA?

Middle Voices melalui Safira Safri pernah ditanya akan mengapa tidak mengketengahkan suara mahasiswa jalanan seperti Khalid Ismath, Safwan Anang, Adam Adli dan beberapa ikon muslimah bertudung labuh yang turun ke jalanan untuk medapatkan perhatian dan publisiti murahan?

Safira Safri hanya menjawab sinis, "Siapa mereka untuk diketengahkan, sedang mereka hanyalah sekadar dijalanan...hebat dibibir berbicara, di sebalik tabir, cumalah seekor kuda tunggangan,"

#Shht...MUSMA akan menarik mahasiswa UiTM untuk menipu mereka kononnya mereka bergerak atas tiket neutral dan non partisan...mahasiswa UiTM bijak menilai!