Sunday 1 September 2013

Tanda Putera Harmoni dan Bukan Perkauman; Pandangan Pemimpin Pelajar

Bangi, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Saudara Shahrul Akmal Johari bersetuju bahawa tayangan filem Tanda Putera tidak bersifat perkauman atau negatif selain memaparkan kisah yang harmoni dan bersejarah.

"Tanda Putera tidak negatif atau bersifat perkauman, saya setuju ianya harmoni dengan kisah dua pemimpin negara ketika itu yang mana merupakan suatu sejarah.

Tambahnya lagi, tayangan filem patriotik seperti Tanda Putera perlu ada kesinambungan memandangkan ianya suatu filem bersejarah yang menjadi medium baru bagi mengajak generasi muda mengenali tokoh dan negarawan yang banyak berjasa.

"pandangan saya,  mahasiswa khususnya generasi muda perlu menghayati filem ini sebagai gambaran kepada peristiwa bersejarah serta mengenali tokoh dan negarawan yang banyak berkorban dan berjasa kepada negara.

"...perlu ada kesinambungan, jika dilihat pada penceritaannya tentang dua negarawan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, saya fikir jika selepas ini dibuat kisah tentang negarawan seperti bekas perdana menteri ketiga dan empat sudah cukup untuk bina kefahaman dan kesinambungan sebagai gambaran kepada mahasiswa...," katannya lagi.

Shahrul bercakap demikian kepada wakil media Middle Voices sebaik selepas menyambut kedatangan pengambilan pelajar baru di kampus Bangi, UKM dekat sini pada lewat petang tadi.

Ahli Majlis MPP UKM itu sempat mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia utamanya kepada parajurit tanah air yang banyak berjuang demi keamanan dan kedaulatan negara.

Sementara itu, Exco Penerangan dan Penerbitan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia, Saudari Anis Mohamed Khalidi turut melontarkan pandangan positif berkenaan tayangan filem Tanda Putera yang dilihat kontroversi oleh sesetengah pihak.

Jelas Anis, Tanda Putera sememangnya sarat dengan mesej selain mempertontonkan kisah dua negarawan yang berusaha menstabilkan keseimbangan sosial selepas peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969 selain merasai akan perit getirnya pengorbanan dua sahabat yang menderita dengan penyakit masing masing.

Tambahnya lagi, elemen sentimental berjaya disuntik dengan baik melalui tayangan filem tersebut kerana tidak dapat dinafikan bahawa dia merasakan kehilangan besar terhadap kedua pemimpin negara sebaik mengenali rapat watak yang dimainkan melalui penceritaan filem Tanda Putera.

Menurut Anis, dia berpendapat bahawa Tanda Putera adalah sebuah filem patriotik dan sesuai dijadikan filem pendidikan agar dapat memberi gambaran jelas tentang keadaan sebenar peristiwa berdarah 1969. 

Kebijaksanaan dan ketegasan pemimpin juga boleh dilihat dalam memastikan rusuhan kaum ketika itu tidak berlarutan selain dapat dijadikan contoh pada kepimpinan hari ini.

Anis ketika ditanya wakil media Middle Voices berkenaan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan filem Tanda Putera bersifat negatif dan perkauman selain memihak kepada parti Barisan Nasional, dia dengan tegas menjawab;

"Jujurnya, tidak ada satu perasaan negatif yang timbul setelah melihat adegan rusuhan kaum di dalam filem itu kerana ia turut memaparkan sudut pemahaman daripada kedua-dua pihak.

"saya yakin bahawa Tanda Putera tidak menyebelahi mana-mana pihak mahu pun parti politik seperti yang digembar-gemburkan.

"Saya turut menyukai jalan ceritanya yang tidak terlalu klise untuk sebuah filem tempatan," Tambah Anis dalam sebuah kenyataan yang dihantarkan kepada wakil media Middle Voices kelmarin selepas dihubungi untuk tujuan itu.

Sebelum itu, akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa filem Tanda Putera semakin mendapat sambutan selain laris di Pulau Pinang sebaik mula ditayangkan lewat dua hari daripada tarikh tayangan sebenar.

Selain itu, tinjauan wakil media Middle Voices mendapati banyak ulasan positif di laman sosial utamanya twitter berkenaan filem Tanda Putera dilontarkan oleh anak muda sebaik selesai menonton filem yang menjadi sebuah ketakutan oleh sesetengah pihak yang memanipulasikan tayangan filem tersebut.

Rata-taranya menjelaskan bahawa Tanda Putera langsung tidak menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia selain sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat secara umumnya.

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!