Friday 4 May 2012

Status pelajar UiTM selepas siasatan


SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata status sama ada Khalid Mohd Ismath akan dibuang atau tidak kerana mengugut mahu membunuh polis akan ditentukan selepas polis selesai melakukan siasatan terhadap pelajar itu.
Sambil menyifatkan tindakan pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang itu mencemar imej UiTM, beliau berkata pusat pengajian tinggi itu boleh menggunakan Akta 174 yang tertakluk di bawah Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
“Berdasarkan akta ini, kita boleh pecat atau singkir Khalid. UiTM juga akan kumpul data dan bukti kukuh mengenai kelakuan yang bertentangan dengan pusat pengajian ini. Jadi, kita tunggu hasil siasatan polis sebab pihak berkuasa sedang cari dia sekarang ini.
“Berdasarkan laporan yang dibuat, memang kita lihat Khalid melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang yang termaktub. Jadi, kita lihat apa tindakan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima memorandum bantahan daripada Gabungan Persatuan Mahasiswa UiTM (Waris Wawasan) di Bangunan Canselori di sini hari ini.
Memorandum itu diserahkan oleh Pengerusi Waris Wawasan, Mohd Noraizat Norazam.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Khalid sudah banyak kali gagal hadir kelas, beliau mengarahkan Bahagian hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk menyiasat perkara itu.
Ujar beliau, perjuangan yang cuba dibawa Khalid tidak mendapat sokongan kira-kira 200,000 pelajar pusat pengajian itu, kerana ia mempunyai pelbagai unsur yang boleh memudaratkan keharmonian negara.
Noraizat yang ditemui turut menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan pemberian dana serta sokongan kepada Kumpulan Aktivis
Mahasiswa Indipenden (Kami) dengan Khalid sebagai naib pengerusinya.
Kami pertubuhan haram
“Kami adalah pertubuhan haram dan tidak berdaftar dengan UiTM. Kami juga bukanlah pertubuhan yang mewakili pelajar UiTM. Dana yang diberi kerajaan negeri itu ialah duit rakyat dan ia tidak harus diberikan sewenang-wenangnya,” katanya.
Baru-baru ini, Khalid mengeluarkan kenyataan di laman sosial facebook berbunyi “Saya setuju jika semua polis dibunuh. Kerana begini caranya mereka melayan rakyat. Jadi setiap kali demo, tidak ada rundingan dengan polis lagi. Lawan tetap lawan”.
Kenyataan terbabit dikeluarkan sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0 di ibu kota Sabtu lalu.
Waris Wawasan turut menyerahkan memorandum berkenaan kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sementara itu, kumpulan mahasiswa terbabit turut menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Selangor yang membantah sebarang bantuan kewangan disalurkan kepada Kami.
Memorandum itu diterima oleh penolong setiausaha cawangan biasiswa dan pelajaran, Nurul Faizah Hamzah.
Menerusi memorandum itu, kumpulan mahasiswa tersebut menuntut kerajaan negeri memenuhi dua tuntutan iaitu menamat dan membatalkan sebarang memorandum persefahaman Kami kerana ia bukan sebuah persatuan yang sah berdaftar.
Mereka juga mahu kerajaan negeri menghentikan sebarang tajaan dan penyaluran dana kepada Kami.
Selain penyerahan kepada kerajaan negeri, mereka juga turut menghantar memorandum kepada pihak istana.


3 comments:

  1. BAGUS DAN SYABAS!!!!

    PENGAJARAN BUAT SEMUA... TERMASUK PENGAMAL UNDANG2DAN PELAJAR JURUSAN UNDANG....

    TIADA SESIAPA YG 'BEBAS HUKUM'.... TERUTAMA P3NGAMALNYA!!!!!!

    ReplyDelete
  2. Xda tamadun punya budak... Buat malu universiti je

    ReplyDelete

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!