Sunday 2 September 2012

Sejahteranya Kampus UKM, Segalanya Bermula Di Sini

Assalammualaikum dan Salam Syawal.

Masih tidak terlambat untuk Middle Voices mengucapkan Salam Merdeka yang ke-55 dengan rasa penuh syukur dan gembira kerana dengan melimpahnya rahmat daripada Pencipta maka hari ini kita hidup di Malaysia dengan rasa aman, makmur dan sejahtera.

Segunung tahniah dan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada pejuang-pejuang tokoh kemerdekaan yang  berhabis baik mengerah keringat mencurah bakti agar kita hari ini berdiri di bumi sendiri berteduh dilangit yang nyata. Tanpa mereka, apakah barangnya sejahtera kita pada hari ini?.

Middle Voices juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi secupak maklumat buat semua sahabat baru Universiti Kebangsaan Malaysia agar kesejahteraan yang dinikmati, boleh dirasai bersama.

Sejahteranya Kampus UKM, segalanya bermula disini dengan suasana kehidupan kampus yang dilengkapi dengan fasiliti-fasiliti terbaik bagi memenuhi setiap keperluan siswa dan siswi agar saling lengkap melengkapi bagi mewujudkan suasana kampus yang permai disamping memudahkan perjalanan harian sebagai kumpulan golongan berintelektual tinggi dan berketrampilan.

Ayuh kita rasai bersama...

Dewan Canselor Tun Abd Razak (DECTAR)
Dectar merupakan dewan terbesar dan tertua yang menjadi salah satu lambang kemegahan dan kebanggaan UKM. Berkeluasan 105'x104.6' (ruang lantai) dan 33'x78' (ruang pentas), dectar digunakan untuk Istiadat Konvokesyen, Sambutan Ambang Kemerdekaan, Peperiksaan Akhir Semester, serta majlis-majlis yang bersesuaian.


Pusat Kesihatan UKM
Pusat Kesihatan (PK) UKM berfungsi sebagai klinik di mana mahasiswa/i boleh mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma. PK UKM ini terletak berhadapan dengan Kolej Burhanuddin Helmi (KBH), serta beroperasi pada waktu seperti pejabat. 

Namun pelajar boleh menghubungi kakitangan bertugas sekiranya berlaku kecemasan di luar waktu operasi. Antara perkhidmatan yang ditawarkan di sini adalah pemeriksaan kesihatan, pembedahan kecil, fisioterapi 'infrared', pengimejan diagnostik asas x-ray, dialisis, rawatan gigi, wad isolasi dan pemerhatian, serta banyak lagi. Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus pula, UKM memiliki polikliniknya sendiri yang terletak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.



Pusanika UKM
Bangunan empat tingkat dengan keluasan fizikal 164,641 kakipersegi ini diberikan nama Pusanika yang bertindak sebagai pusat kemudahan utama di Kampus UKM Bangi. Selain menempatkan ruang pejabat bagi Jabatan Perkhidmatan Pelajar dan persatuan-persatuan yang bernaung di bawahnya, Pusanika turut menyediakan kemudahan seperti pejabat pos, bank, kedai buku, kafetaria, kedai runcit, mesin ATM dan sebagainya.

Antara mesin ATM yang disediakan di Pusanika adalah mesin ATM Bank Islam, CIMB, MAYBANK, dan BSN. Perkhidmatan ATM turut terdapat di Canselori (Bank Islam dan CIMB) serta di kolej-kolej tertentu seperti KKM (Bank Islam) dan KPZ (Bank Islam).

Selain kemudahan mesin juruwang automatik (ATM), Cawangan CIMB Bank juga turut disediakan untuk kemudahan semua warga kampus UKM selain kegunaan pengeluaran dan urusan-urusan perbankan yang lain. Istimewanya lagi, Pusanika juga merupakan pusat tumpuan kerana sering dijadikan sebagai tempat untuk menganjurkan program-program atau jualan seperti Minggu Pengenalan Persatuan, PC Fair, promosi buku, pameran dan pelbagai aktiviti anjuran warga kampus UKM.



Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia
Masjid UKM merupakan salah satu kebanggaan UKM yang tersergam gah di bulatan utama berhampiran pintu masuk yang juga bertentangan dengan Dectar (apabila melalui canselori Dectar berada di sebelah kiri, masjib di sebelah kanan) menjadikan kedudukannya strategik seperti yang terkandung dalam falsafah UKM ;

"Paduan antara iman kepada Allah (masjid) dan Ilmu yang bermanfaat (dectar), serta gabungan antara Teori dan Amal merupakan asas kepada pembangunan Universiti, pembudayaan ilmu, dan pembentukan masyarakat terpelajar"

Bangunan Masjid mengandungi tiga paras, dengan keluasan 25,713.41 meter persegi (74,500 kaki persegi) dan boleh menampung jemaah seramai 5,000 orang.
Paras Satu Masjid mempunyai sebuah dewan sembahyang, dua tempat wuduk (lelaki dan perempuan), dua tandas (lelaki dan perempuan), pejabat pentadbiran Pusat Islam, sebuah bilik seminar, sebuah bilik mesyuarat, sebuah bilik mandian jenazah dan kutub khanah. Paras Dua Masjid mempunyai sebuah dewan sembahyang, sebuah bilik rehat Imam dan Bilal dan sebuah bilik tetamu. Manakala paras Tiga mempunyai dewan sembahyang Muslimat, bilik studio dan dua tempat wudu'. Persekitaran masjid mempunyai enam buah pondok wakaf, sebuah dapur (termasuk bilik mandi dan tandas) serta terdapat lebih kurang 300 lot tempat letak kereta.

Sumber: Pusat Islam UKM


Perkhidmatan Bas UKM
UKM turut menyediakan perkhidmatan bas agar memudahkan pergerakan mahasiswa/i di dalam kampus mahupun disekitarnya. Malah, UKM turut mempunyai stesen KTM komuter sendiri yang tidak jauh dari Kampus UKM Bangi.

Bas-bas di UKM dibahagikan mengikut zon laluan seperti yang tertera di bawah:

Zon 2 : bermula dari KPZ
Zon 3 : bermula dari KKM
Zon 4 : bermula dari KIAM
Zon U : bermula dari KKM melalui seluruh kampus
Zon 6K/6Z : bermula dari stesen KTM komuter ke KKM/KPZ


Perkhidmatan Internet Tanpa Wayar
Bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mahasiswa/i, UKM dilengkapi dengan perkhidmatan internet tanpa wayar (wi-fi) yang boleh dicapai di seluruh kawasan kampus. Warga ukm akan menggunakan akaun ukm-jaring manakala warga bukan ukm akan menggunakan akaun tetamu ukm. Selain itu, terdapat beberapa kolej seperti KDO, KUO, KBH, KAB dan KIY yang menyediakan 'cable port' untuk capaian internet melalui kabel LAN. Justeru, dua perkhidmatan internet ini mampu menjimatkan kewangan mahasiswa/i kerana mereka tidak perlu membeli 'broadband' untuk mendapatkan capaian internet di UKM.


Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia
Kemudahan sukan dengan prasarana bertaraf olimpik juga terdapat di UKM. Selain gelanggang futsal, gelanggang bandminton, skuasy, gymasium, padang golf, kriket dan sebagainya, UKM turun menyediakan stadium yang besar dengan fasiliti trek sintetik untuk acara-acara sukan yang besar bagi memudahkan mahasiswa/i berlatih di dalam acara sukan tertentu. Stadium ini terletak berhampiran Kolej Rahim Kajai dan Kolej Ibu Zain, malah ia kini menjadi tempat mahasiswa/i bersukan dan beriadah setiap petang atau mengadakan acara-acara tertentu seperti bersenam bersama ahli kelab, pertandingan berbasikal dan sebagainya.
Luas, dengan fasiliti sukan bertaraf Olimpik




Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL)
Sejajar dengan pembangunan UKM sebagai gedung ilmu, PTSL dilengkapkan dengan prasarana perpustakaan akademik yang menyediakan keperluan sumber maklumat kepada warga UKM. PTSL juga merupakan kebanggaan UKM apabila diiktiraf sebagai perpustakaan terbesar di Asia Tenggara dengan memiliki 4 cabang perpustakaan yang lain dilengkapi dengan sistem-sistem berteknologi tinggi. Empat cabang PTSL yang dikenali sebagai Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu (PATMA), Perpustakaan Undang-Undang (PUU), Perpustakaan Dr. Abdul Latif (PDAL), dan Perpustakaan Pusat Perubatan UKM (PPPUKM).


Istimewanya, PTSL memiliki lebih dari 1,873,051 koleksi (sehingga 2009) dan 30,600 jurnal elektronik, PTSL turut mempunyai aplikasi dalam talian (online) yang baik di mana mahasiswa/i dapat meminjam buku langsung dari kawasan luar perpustakaan serta menyemak tarikh pulang buku, jumlah hutang dan sebagainya, semuanya secara online.


Selain kemudahan yang lengkap, suasana pembelajaran di PTSL sangat kondusif dan sesuai untuk pelbagai cara pembelajaran dan pengajaran. Terdapat juga bilik perbincangan serta bilik khas yang kedap bunyi khas untuk aktiviti-aktiviti perbincangan dalam kumpulan agar tidak mengganggu pengunjung lain. Malah, PTSL turut menyediakan perkhidmatan meminjam dan memulang buku secara elektronik.


Prologue: Selain kemudahan di atas, terdapat banyak lagi kemudahan fasiliti serta perkhidmatan yang disediakan di UKM bagi memastikan kesinambungan budaya berpretasi tinggi dan berdaya saing dalam kalangan warganya. Justeru, perkhidmatan dan kemudahan ini diharapkan agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa/i UKM di dalam proses meningkatkan produktiviti serta membentuk masyarakat terpelajar. Sekian, mahasiwa tunjang ASPIRASI universiti. "TEGUH, SETIA, BERSATU !"

Safira Safri berharap, dengan adanya maklumat ini, akan memudahkan lagi perjalanan sahabat baru Kampus UKM dalam melalui hari-hari sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Jumpa kita di sana.


#Ihsan Media Kampus UKM, Sejahteranya bermula dengan seteguh dokongan tunjang Aspirasi...

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!