Tuesday, 11 September 2012

Mahasiswa Harus Maafkan Ammar, Perdana Menteri; Najib Razak Wajar Beri Pertimbangan

Assalamualaikum dan Salam Merdeka Raya.

Middle Voices melihat rentak pergolakan mahasiswa hari ini dengan pelbagai tindakan di luar dugaan yang seterusnya mencemarkan imej ketertinggian ilmu dan keperibadian golongan bijak pandai dek perbuatan yang melampaui batas sehingga terhakisnya keluhuran akhlak dan budi bahasa dalam kalangan mahasiswa.

Bermula dengan tragedi pencabulan nama baik mahasiswa oleh seorang penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI bernama Adam Adli yang ghairah berdemonstrasi sehingga menurunkan bendera pemimpin negara selain menggegar kesejahteraan UPSI yang akhirnya menemui kejayaan dengan hukuman gantung universiti kerana perbuatan memalukan.

Seterusnya tajuk mahasiswa sekali lagi berlegar dirongga udara media apabila seorang mahasiswa beruntung yang diterima masuk di Universiti Teknologi MARA, UiTM iaitu Khalid Ismath yang hampir meranapkan perpaduan siswa di universiti itu dengan pembawakan ideologi keruntuhan akhlak dengan ugutan kepada polis, penghinaan dan makian yang terus menerus mencemarkan imej UiTM sebagai institut pendidikan melayu terbesar.

Akhirnya, dia turut menempa kejayaan dengan digantung pengajian kerana tidak memuaskan hati panel perbicaraan apabila disoal sebab kerana gagal menghadiri kuliah, ujian, kuiz secara berturut-turut kerana berdemonstrasi yang selainnya memalukan nama baik universiti itu.

Kemudian muncul lagi wira-wira mahasiswa dengan pembawakan modal keruntuhan akhlak yang terus menerus mencemar imej mahasiswa dengan pelbagai perbuatan seperti membawa batu nisan, bertengkar dengan Timbalan Naib Canselor universiti tanpa rasa hormat, memperlekehkan penjawat awam seperti polis, memecahkan pintu kaca pentadbiran universiti, membawa kain kafan, menunggang kuda kepang dengan motif menghina dan banyak lagi perbuatan yang merosakkan ketamadunan Bangsa Malaysia selain tidak cukup dengan mencemarkan imej pembawakan akhlak islamiah.


Terbaru, Membincangkan tentang permohonan maaf oleh seorang Mahasiswa Dibuang Kolej dek perbuatan yang Mempamerkan Ketidakmatangan pada Malam Ambang kemerdekaan lalu, Middle Voices berfikiran bahawa adalah wajar agar semua mahasiswa termasuk golongan masyarakat di Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia memberikan kemaafan kepadanya, iaitu Ammar.

Ammar yang merupakan mahasiswa sebuah kolej swasta kelmarin mengaku bersalah dan memohon maaf  secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan Perdana Menteri khasnya kerana perbuatannya yang menunjukkan punggung kepada potret YAB Dato' Sri Najib Razak pada malam ambang kemerdekaan yang lalu di Perhimpunan Janji Demokrasi.

Perbuatan biadapnya kemudian mendapat cemuhan pelbagai pihak, golongan masyarakat termasuk, kumpulan badan bukan kerajaan dan golongan mahasiswa di seluruh Institut Pengajian Tinggi.

Tidak cukup dengan itu, Dr Asri yang merupakan Bekas Mufti Perlis turut menyifatkan perbuatannya dengan yang lain sebagai buruk perangai dan hodoh akhlaknya sambil menegaskan perbuatan itu tidak boleh diterima oleh sebuah masyarakat bertamadun.

Prologue: Middle Voices memuji tindakan Ammar dan kedua ibu bapanya serta mereka yang menasihatkannya agar meminta maaf secara terbuka dengan mengakui kesalahan diatas perbuatannya itu.

Pujian ini dilontarkan secara umum berikutan Ammar yang menerima pelbagai cemuhan akhirnya tampil memohon maaf dan mengaku kesalahan malah berjanji tidak akan mengulanginya lagi pada masa hadapan.

"Saya menyesal. Saya sedar apa yang saya lakukan ini satu kesilapan. Saya juga berjanji pada diri sendiri, saya tidak akan mengulanginya di masa hadapan,” katanya dengan wajah tenang di hadapan pihak media di rumahnya. 

Tambahan lagi, sifatnya yang mengakui kesalahan dan bersedia meminta maaf seharusnya mendapat pujian daripada semua pihak selain daripada bersyukur kerana dia telah menyesal akan perbuatannya.

Malah Islam juga turut meletakkan kedudukan yang mulia kepada mereka yang berani mengakui kesalahan seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku dengan dosanya kemudian bertaubat, pasti Allah akan menerima taubatnya“. (Hadits riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad) 

Tidak cukup dengan memohon maaf dan mengakui kesalahan, Ammar turut memohon agar seluruh rakyat Malaysia tidak meleretkan cemuhan kepada kedua ibu bapanya kerana sedar akan kesilapannya itu adalah atas perbutannya yang berlebih lebihan dan bukannya kerana kegagalan ibubapanya mendidik seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak


“Saya yang bersalah, bukan ayah atau keluarga saya. Tolonglah, jangan salahkan kedua ibu bapa saya," rayu Muhammad Ammar kelmarin dihadapan media dirumahnya.

Sekali lagi Middle Voices memuji Ammar kerana bersedia membersihkan nama baik ibu bapanya dan keluarga yang terpalit rasa malu dek perbuatannya sendiri.

Oleh itu, adalah wajar jika mahasiswa, golongan cendikiawan, sejarawan dan semua yang bernaung dibawah langit yang sama dan memijak di bumi Malaysia memaafkan Ammar kerana memberikan kemaafan itu ada kemanisannya selain mulia di dunia dan akhirat.

"Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Surah Al A’raf : 199)

Dr Fadzilah Kamsah turut berkata sekiranya kita selalu memberi kemaafan, maka ia dapat mencuci hati, menenangkan fikiran, menjadikan wajah menawan dan ceria, sembuh dari penyakit, dan mengurangkan stress.

#Middle Voices bersyukur kepada Allah kerana Ammar telah memohon maaf dan mengakui kesalahannya berbanding dengan mahasiswa ideologi pemusnah seperti Adam Adli, Safwan Anang, Khalid Ismath dan lain-lain yang bongkak dan bangga diri apabila mencemarkan maruah diri sendiri dengan perbuatan yang mempamerkan keruntuhan akhlak. - Safira Safri

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!