Friday 8 June 2012

#UiTM; Esok Perbicaraan Tatatertib Khalid Ismath

Assalamualaikum dan salam perpaduan. UiTM sentiasa dihatiku.

Rakan Middle Voices sedia maklum, bahawa esok merupakan hari perbicaraan bagi mahasiswa UiTM yang juga merupakan penuntut Pengajian Undang-undang di universiti itu.

Mengikut sumber, Khalid Ismath telahpun membuat keputusan untuk hadir ke perbicaraan tersebut ketika memberi sedikit ucapan penutup pada sesi perbincangan PTPTN bersama Rafizi Ramli yang merupakan ahli politik pembangkang petang kelmarin.

Sebelum itu, Khalid Ismath telah dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar, Universiti Teknologi MARA untuk menghadiri satu perbicaraan melalui sepucuk surat pertuduhan bertarikh 24 Mei 2012 bagi menghadap 3 pertuduhan, iaitu;

Pertuduhan Pertama: Kerana tidak hadir ke kelas (Syarahan, Tutorial dan Ujian) selama 19 kali, (seperti yang dijadualkan) dan dituduh melanggar Kaedah 4, Jadual Kedua, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174.

Pertuduhan Kedua: Kerana telah membuat komen yang berbaur pencemaran ke atas imej dan nama universiti iaitu "Saya setuju jika semua polis dibunuh" dan;

Pertuduhan Ketiga: Kerana menunjukkan perbuatan yang tidak sopan dan tidak sepatutnya pada 14 April 2012 bertempat di sekitar kawasan Dataran Merdeka dengan menggunakan kata berbentuk ganas dan ugutan. "Jika tidak, tak lama lagi akan arwahlah Najib Tun Razak"; Komen yang tidak wajar ini telah membawa nama buruk kepada UiTM.

Kedua-dua pertuduhan (Dua & Tiga) ini adalah melanggar Kaedah 3 (a) Jadual Kedua, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174.

Sekiranya Khalid Ismath didapati bersalah di atas pertuduhan berikut, dia boleh dihukum dibawah Kaedah 48, Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1976 Akta 174.
Middle Voices berharap agar perbicaraan tersebut dapat berjalan dengan lancar dan diadili oleh panel tidak berkepentingan dengan adil dan saksama. 

Sebarang keputusan daripada panel di kamar perbicaraan mahkamah UiTM pada esok hari, seharusnya dihormati dan diterima baik oleh semua mahasiswa secara umumnya dan khasnya mahasiswa UiTM.

#Yang salah akan dihukum, yang benar akan terlepas...

2 comments:

  1. Sememangnya, mana-mana pelajar IPTA yang melanggar undng-undang negara wajarlah didisiplinkan oleh TNC pelajar.

    ReplyDelete
  2. betul tu, saya menyokong penuh tindakan pengurusan UiTM untuk mngenakan tindakan tatatertib terhadap Khalid.

    ReplyDelete

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!