Tuesday 6 August 2013

MPP UiTM Tampil Perjelas Isu Halau dan Syukur

Kuala Lumpur - Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA percaya bahawa wujudnya salah faham dalam konteks pemahaman terhadap pengertian 'syukur' yang cuba disampaikan.

MPP UiTM, Amirfiqri
Perkara itu disebut oleh Penolong Naib Yang Dipertua MPP UiTM, Saudara Muhamad Amirfiqri Bin Samsudin melalui sebuah kenyataan rasmi yang dikirimkan kepada wakil media Middle Voices dekat sini semalam.

Amirfiqri menjelaskan, bahawa pengertian syukur yang dimaksudkan oleh organisasi itu sebenarnya bersifat menghargai sesuatu yang diusahakan disamping melaksanakan penambahbaikan.

"'Bersyukur', yang cuba disampaikan adalah menghargai dengan apa yang telah diusahakan disamping cuba untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap usaha-usaha tersebut.

Tambahnya, isu syukur yang menjadi bualan mahasiswa kampus sejak pertengahan Julai lalu bukanlah bermaksud tidak berusaha untuk memperbaiki apa yang ada atau menafikan keperluan yang perlu diperjuangkan.

Dalam kenyataan yang sama bagi menjawab persoalan yang kononnya badan perwakilan pelajar itu enggan dan tidak boleh dikritik, Amirfiqri menerangkan bahawa kepimpinan organisasi itu sentiasa terbuka dan menggalakkan mahasiswa menyalurkan maklumat berkenaan isu kampus dan mahasiswa.

Tambahnya lagi, cadangan dan idea penambahbaikan juga wajar disalurkan bersama aduan atau kritikan agar konsep kebersamaan wujud dalam membawa suara mahasiswa.

"Barisan kepimpinan MPP tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membuat aduan berkenaan isu kampus mahupun isu mahasiswa.

"Malah, kami menggalakkan agar aduan tersebut disalurkan bersama cadangan mahupun idea penambahbaikan agar konsep kebersamaan dapat kita adaptasi dalam membawa suara mahasiswa," katanya.

Sebelum itu, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM dilaporkan Middle Voices sebagai menerima gesaan daripada sekumpulan mahasiswa agar memohon maaf di atas kenyataan Exco Kerjaya dan Hubungan Majikan yang bertindak menghalau mahasiswa UiTM yang tidak bersyukur untuk keluar dari UiTM.

"Jika anda tidak bersyukur menjadi pelajar UiTM, silalah keluar, ramai lagi yang mahukan tempat anda," kenyataan exco tersebut yang disampaikan melalui laman sosial twitter peribadi.

Walaubagaimanapun, kenyataan Maryam Jamadi yang disifatkan sebagai menghalau ternyata meleset daripada maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh ahli perwakilan tersebut.

Amirfiqri dalam kirimannya turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf bagi pihak kepimpinan badan eksekutif pelajar itu yang menyebabkan perkara tersebut disalah tafsir selain berterima kasih kepada mereka yang memberi perhatian kepada isu tersebut.

"....sempena bulan Ramadhan yang bakal pergi, serta kehadiran Syawal yang dinanti, pihak MPP memohon seribu kemaafan kepada mana-mana pihak kerana menyebabkan isu ini disalah tafsir. 

"...terima kasih kepada semua pihak yang memberi perhatian kepada isu ini, memberi komen yang membina serta sedikit sebanyak memberi sokongan padu kepada barisan kepimpinan MPP untuk terus menerajui suara mahasiswa pada masa akan datang.

Tambahnya lagi, dia berharap agar perjuangan bersama mahasiswa UiTM mendapat rahmat dan diberkati Allah S.W.T sambil sempat memuatkan salam aidilfitri dalam kenyataannya.

“Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Prologue: Tahniah diucapkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UiTM yang tampil mengemukakan penjelasan bagi menjernihkan isu syukur yang disalah tafsir rakan media.

Sewajarnya, sikap bertanggungjawab dan berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan harus dijadikan contoh kepada semua badan perwakilan pelajar di setiap Institut Pengajian Tinggi, IPT memandangkan mereka merupakan kumpulan yang sentiasa mendapat perhatian media.

Rakan Siswa Zon Tengah mencadangkan agar mana-mana badan perwakilan pelajar melantik seorang daripada dalam kalangan mereka sebagai juru cakap kepada setiap perkara yang menjadi sebutan media bagi mengelakkan kenyataan peribadi sesetengah ahli perwakilan menjadi kenyataan organisasi.

Hal ini berikutan, kenyataan peribadi sesetengah ahli perwakilan daripada mana-mana universiti sering bercanggah dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan organisasi tersebut.

Sebagai menghormati kenyataan balas yang dikirimkan kepada wakil media Middle Voices, rakan penulis Siswa Zon Tengah memohon maaf kepada Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, berikutan laporan yang berkemungkinan menggugat kepercayaan mahasiswa kepada organisasi perwakilan itu.

#Tahniah MPP UiTM, rakan media kami gembira dengan perkongsian oleh Saudari MPP, Nor Adibah Rozain ketika sesi diskusi selama 30 minit hasil pelawaannya...

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!