Saturday, 12 May 2012

1,000 mahasiswa wakili 18 universiti tunjuk sokongan kepada PM

Sebahagian 1,000 Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) dari 18 Universiti seluruh Malaysia berhimpun pada Program Seminar Keamanan Untuk Negara 'Suara Mahasiswa 1Malaysia' dan menyerahkan Deklarasi Aman kepada Perdana Menteri di Dataran Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 10 Mei - Seramai 1,000 mahasiswa daripada Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma) mewakili 18 universiti seluruh negara hari ini menyerahkan deklarasi aman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menunjukkan sokongan penuh mahasiswa terhadap kerajaan.

Penyelaras Deklarasi Aman Karisma, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata, deklarasi itu bagi menepis dakwaan pelbagai pihak yang melabelkan mahasiswa propembangkang.

Beliau menegaskan, majoriti mahasiswa tidak menyokong pembangkang sebaliknya berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri.

Katanya, lima perkara diketengahkan dalam deklarasi itu iaitu menyokong dan bersama kepimpinan Perdana Menteri, menolak segala bentuk kekacauan, provokasi dan demonstrasi yang menggugat keamanan negara dan menjadikan mahasiswa golongan yang bebas.

"Memastikan penyebaran fakta yang tepat dan berasas agar tidak timbul kekeliruan di kalangan rakyat serta memastikan isu moral dan salah laku bebas ditangani secara menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan deklarasi tersebut kepada wakil Perdana Menteri, Datuk Mohamed Suffian Awang.

Terdahulu, kumpulan mahasiswa tersebut menghadiri Seminar Keamanan untuk Negara bertajuk "Suara Mahasiswa 1Malaysia".

Mereka kemudiannya mengadakan perhimpunan aman bagi membantah perhimpunan Bersih 3.0 dan menentang isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di Dataran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Kumpulan tersebut kemudiannya menuju ke bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil Polis Diraja Malaysia, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Salleh Mat Rasid dan wakil SPR, Timbalan Setiausahanya, Datuk Nordin Che Ngah.

Menurut Muhamad Mukhlis, seluruh mahasiswa yang enyokong perhimpunan tersebut sebenarnya sudah tidak tahan dengan sikap pembangkang yang selalu menggunakan mahasiswa untuk menyebarkan agenda masing-masing.

"Kami datang ke sini kerana sudah jelik, bosan dan marah dengan demonstrasi yang diadakan untuk menggugat keamanan negara di mana mahasiswa dijadikan alat untuk menjayakannya.

"Apa yang mereka lakukan langsung tidak membantu sebaliknya mereka tidur di Dataran Merdeka, merosakkan harta benda awam, kalung bunga pada potret pemimpin dan sebagainya yang menunjukkan rendahnya tahap intelektual mahasiswa kita," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!