Monday, 20 February 2012

benarkah Islam mengalakkan demonstrasi?

Amalan demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan (bid’ah) dalam agama berkaitan hal mu’amalah terhadap pemerintah. Dari itu, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya tidak terjerumus ke dalam ideologi kuffar (Yahudi dan Nashara), kaum jahiliyyah, syi’ah, dan ideologi kelompok khawarij (pemberontak). Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan dengan sabdanya:

لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

“Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nashara?” Beliau menjawab, “Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/298, no. 6775)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai hasan oleh Ibnu Hajar dan sahih oleh al-Albani)

Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum dengan katanya:

من راى من اميره شيئا فكرهه فليصبر فانه ليس احد يفارق الجماعة شبرا فيموت الا مات ميتة جاهلية

“Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan amirnya (pemerintah), maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan kepada pemerintah walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka matinya adalah seperti matinya kaum jahiliyyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/51, no. 6610)

Ini adalah kerana orang-orang jahiliyyah itu tidak memiliki pimpinan yang konsisten, tiada pegangan agama yang utuh dan menyatukan, hidup mereka dikenali berpecah-belah serta saling jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh al-Khaththabi dalam al-Uzlah, Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim, dan Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu’ Fatawanya.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyebutkan:

فَإِنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَكُونُوا يَجْعَلُونَ عَلَيْهِمْ أَئِمَّةً؛ بَلْ كُلُّ طَائِفَةٍ تُغَالِبُ الْأُخْرَى

“Bahawasanya orang-orang jahiliyyah tidak memiliki pemimpin (yang disepakati) yang mentadbir urusan mereka, sebaliknya setiap kelompok saling bermusuhan (menjatuhkan) di antara satu sama lain.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/487 - Daar al-Wafaa’)

Pemerintah yang dimaksudkan hadis ini adalah merujuk kepada pemimpin (yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat Islam secara umum dan tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah di zaman tertentu semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam Subulus Salam (3/258 - Maktabah Syamilah). 


sumber:
http://an-nawawi.blogspot.com/2010/10/amalan-demonstrasi-bukan-ajaran-islam.html

1 comment:

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!