Monday, 10 December 2012

Ridhwan Tee Abdullah; Pilihan Raya Kampus dan Pemuda UMNO

RIDHUAN TEE ABDULLAH
10 Disember 2012

Selaku bekas pimpinan pelajar, ucapan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mengatakan kejayaan kumpulan Pro Aspirasi dalam pilihan raya kampus menandakan sokongan orang muda kepada Umno Barisan Nasional agak sukar juga untuk diterima, walaupun ada sedikit fakta.

Sesiapapun yang mempunyai pengalaman memimpin persatuan mahasiswa, pilihan raya kampus bukanlah medan sebenar untuk menguji kekuatan sesebuah parti politik.

Pilihan raya kampus adalah tempat latihan kepimpinan pelajar. Itu pun mereka dikawal oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak untuk menyuarakan sokongan terhadap sesebuah parti politik, terutamanya pembangkang. Tindakan akan dikenakan. Bermakna, jika pelajar diam, tidak bermakna mereka menyokong Umno Barisan Nasional.

Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) belum tentu dapat mengawal ratusan persatuan lain yang bernaung di bawahnya. Persatuan-persatuan ini kadangkala lebih berpengaruh daripada MPP.

Memang tidak dinafikan ada pengaruh parti politik luar seperti Umno dan Pas. Misalnya, Persatuan Mahasiswa Islam (Pengajian Islam), pro Pas. Manakala, Persatuan Mahasiswa (Sastera) pro Umno. Begitu juga dengan persatuan lain yang bersifat lebih ‘lokal’ seperti persatuan fakulti, jabatan, bahasa, anak negeri dan sebagainya. Pada saya, persatuan-persatuan ini sepatutnya yang didekati kerana ia bersifat dalaman, ada sentuhan hati (kefalkutian atau kenegerian) atau down-to-earth.

Namun, seperti saya sebut, menguasai MPP, bukanlah petanda sebenar menguji kekuatan parti. Pengaruh kampus tidaklah sehebat pengaruh ibu bapa dan sekolah yang mendidik mereka sejak kecil. Mereka sudah ada pendirian apabila masuk ke kampus kerana telah dewasa.

Jika ingin memenangi hati mahasiswa, kita hendaklah mulakan dengan memenangi hati ibu bapa atau keluarga pelajar. Begitu juga dengan guru-guru di sekolah. Bukti-bukti menunjukkan anak-anak lebih terpengaruh dengan apa yang berlaku dalam keluarga dan sekolah mereka. Biasanya, ibu bapa (guru) pro Umno (Pas), anak-anak (murid) biasanya sebegitu, walaupun tidak dinafikan sebaliknya ada berlaku.

Sebab itu, kadangkala persepsi atau tindakan pelajar tersebut berubah apabila keluar dari alam kampus. Kerana apa? Saya mohon pemuda Umno mencari jawapannya. Ramai kawan saya dulunya Umno semasa kampus telah menjadi Pas, sebaliknya, Pas menjadi Umno, tetapi tidak ramai. Pelajar Cina usahlah dicerita, kerana sebahagian besarnya ultra kiasu.

Jika pemuda Umno mahu juga masuk ke kampus dan mencari kekuatan sebagai langkah tambahan, apa yang perlu dilakukan ialah untuk memenangi hati mahasiswa (rakyat). Turun ke padang. Dekati mahasiswa dengan ilmu penuh di dada dan akhlak memikat.

Kadangkala apabila berceramah kita sekadar melaungkan hidup Melayu, hidup Umno. Terlalu dogmatik. Pengisian rohani kurang. Jiwa pelajar menjadi kosong. Inilah juga ingatan saya kepada Biro Tata Negara (BTN). Justeru, saya puji bila BTN mula menerbitkan bahan-bahan bersifat ilmiah daripada cendekiawan dan ilmuwan tersohor.

Kedua, Pemuda Umno hendaklah mengurangkan program berhibur dan jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Banyakkan program yang dapat memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Sudah sampai masa kita memikirkan untuk melahirkan leader of character, yang menjadi tagline Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Saya akan huraikan dalam artikel akan datang. 

Ingatlah, kekuatan pemuda terletak kepada kekuatan akhlak, minda dan strategi mereka. Zaman berlagak dengan kekayaan sudah berakhir. Zaman ini adalah zaman untuk bekerja membangun umat Islam dan parti.

Kenapa hari ini Pemuda Pas lebih mendapat tempat? Kerana orang Pas boleh dikatakan ‘serba boleh’ dan down-to-earth. Walaupun mereka berlatar belakangkan profesional; ceramah mereka berisi, mereka boleh jadi imam, bacaan al-Quran mereka mantap dan berbagai lagi kelebihan.

Contoh, bekas pemimpin Pas atau Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali. Beliau adalah bidang perancang bandar, tetapi motivator yang baik, bercakap dengan sandaran al-Quran dan hadis. Boleh jadi khatib, imam dan sebagainya. Ciri-ciri inilah yang perlu ada pada Pemuda Umno.

Jangan terlalu berlagak dengan ijazah Oxford dan Cambridge. Universiti ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Begitu juga sifat ghairah untuk menjadi pemimpin bagi mengaut projek-projek kerajaan.

Zaman seperti ini sudah berakhir, rakyat sudah mula buka mata. Jika kita masih tidak sedar, pasti kita akan hancur.

Sumber: Sinar Harian

Prologue: Middle Voices bersetuju dengan tulisan tangan Prof. Ridhwan Tee Abdullah yang menjelaskan situasi sebenar dengan keadaan realiti semasa di kampus.

Secara peribadi, Safira Safri berfikiran bahawa UMNO itu sendiri perjuangannya sudah cukup baik dan meyakinkan, namun sikap orang yang menyambung perjuangannya itu harus diubah.

Hiburan terlalu banyak diterapkan sebagai penarik kepada mahasiswa, sedangkan selalunya kami ini terkesima dengan hiburan yang seakan menjadi sajian kepada mahasiswa di dalam kampus.

Sajaknya, kami yang inginkannya atau mereka yang menyajikan kami itu yang syok sendiri? berfikiran bahawa hiburan boleh menjadi tarikan kepada kami? kemudian mereka sebenarnya sedang silap.

Jika ditanya, mengapa kami masih dalam UMNO jika banyak kelemahan dan hiburan, maka jawapan kami, "siapa yang akan ubah UMNO jika bukan kami" dan "apakah PAS, PKR dan parti pembangkang yang lain punya perjuangan dan pendirian yang cukup meyakinkan seperti UMNO?" malah "apakah dayanya islam dijadikan tiket untuk menarik undi oleh PAS" maka kami tekad, memilih UMNO.

"Jiwa pelajar menjadi kosong" - Ridhwan Tee

Setuju dengan Prof. Ridhwan Tee. Benar, jiwa mahasiswa menjadi kosong kerana kurangnya pengisian rohani. 

Mungkin kami disini akan dipanggil kumpulan yang cuba menentang atau bersekongkol dengan PAS atau pembangkang seperti Saifuddin Abdullah yang lantang memperbetulkan UMNO.

Namun hakikatnya, kami sayangkan UMNO kerana dia... Hati Malaya... kerana dia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu...

#Saya pilih UMNO untuk Malaysia...

1 comment:

  1. Berjuanglah hingga orang kenal Allah itu
    adalah pencipta segala-galanya
    Berjuanglah sehingga orang faham Allah itu
    adalah Tuhannya
    Berjuanglah hingga Tuhan disembah,
    ditakuti dan dicintai orang
    Berjuanglah hingga orang berbangga
    Bahawa Allah itu adalah Tuhannya,
    pemimpinnya, idolanya
    Bahkan Kawan Setianya

    Berjuanglah hingga orang menyerahkan
    Seluruh harta, tenaga dan jiwa raganya untuk-Nya
    Berjuanglah hingga syariat Tuhan sahaja
    Yang menjadi disiplin hidup mereka
    Selain syariat-Nya adalah tertolak
    Bahkan perosak manusia dan dunia
    Berjuanglah hingga manusia menyerahkan
    Seluruh hidup matinya untuk-Nya
    Berjuanglah hingga manusia merasakan bahawa
    Tuhan sahaja yang Maha Berkuasa
    Kuasanya yang diberi sedikit oleh Tuhannya
    Bila-bila sahaja boleh ditarik balik
    oleh Tuhan pencipta manusia

    Berjuanglah hingga manusia
    Sabarnya, redhanya, syukurnya untuk Tuhannya
    Penyerahan diri kepada Tuhan secara total
    Berjuanglah hingga manusia membawa Tuhan
    ke mana-mana
    Hingga manusia menganggap Kawan Setianya
    yang membelanya
    Tidur bersama Tuhan, duduk bersama Tuhan,
    makan bersama Tuhan
    Berjalan bersama Tuhan, bermusafir bersama Tuhan

    Di waktu rehat bersama Tuhan
    Di waktu aman dan damai bersama Tuhan
    Di masa susah dan payah bersama Tuhan
    Berjuanglah hingga dirasakan Tuhan itu amat diperlukan
    Bahkan manusia tidak akan selamat dan hidup tanpa Tuhan
    Berjuanglah hingga manusia merasakan Tuhan adalah segala-galanya
    Berjuanglah hingga manusia seluruhnya
    Memburu keredhaan dan kasih sayang-Nya
    Hingga dengan itu manusia akan berkasih sayang sesama manusia
    Begitulah berjuang yang dikehendaki Tuhan

    ReplyDelete

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!