Tuesday, 13 November 2012

Rahmann Setpol; Cerpen Buat MPP UKM

Pro-mahasiswa menguasai sekali lagi Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) untuk sesi 2012-2013. Seakan mengia gelaran kumpulan mereka 'Gabungan Mahasiswa UKM' , kumpulan yang mengaku memperjuangkan suara mahasiswa yang tulen mendapat sokongan 2/3 kerusi dalam pilihanraya kampus (PRK) atau nama rasminya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2012-2013.

Setelah sepenggal PRK ditangguhkan, kali ini kedua-dua pihak; Aspirasi dan GMUKM tampil membawa muka-muka baru yang diangkat sebagai calon-calon 'winable' mereka. Ironinya dalam PRK kali ini kumpulan Aspirasi selaku 'jaguh kolej' mungkin 'terlupa' untuk menyediakan 7 orang calon untuk mencukupkan bilangan calon-calon mereka sekaligus memberikan kemenangan percuma tanpa bertanding kepada kumpulan GMUKM yang bersiap sedia memenangi kerusi sekali lagi pada tahun ini. 

Calon-calon yang 'terlupa disiapkan' termasuk di kerusi-kerusi; 

Umum Tahun 3/4
Fakulti Perubatan Tahun 1/2
Fakulti Sains & Teknologi Tahun 1/2
Fakulti Ekonomi & Pengurusan 3/4
Fakulti Pengajian Islam
Fakulti Pendidikan
Fakulti Farmasi


Ini menyebabkan kumpulan GMUKM semakin yakin dengan persiapan longgar 'kumpulan anak emas pengetua kolej' yang sekadar berharap 'ada sinar di hujung jalan'.

Salah seorang calon Umum 3/4 Mohamad Afiq Ammar Tulus dalam responnya di Malaysiakini, “Secara jujurnya, sedikit sedih bila lima kerusi dah hilang awal. Tapi saya percaya calon lain mampu beri kemenangan yang berpihak pada kami."

Secara analitiknya sememangnya kemenangan GMUKM sudah dapat dijangka oleh penulis sendiri sesuai tamat tempoh bantahan pada hari Penamaan Calon 21 September lalu. Mungkin juga Mohamad Afiq Ammar sendiri dalam nada menginspirasi calon-calon mereka walhal diri sendiri sudah menjangkakan kekalahan teruk pada PRK kali ini.


CCC, PAH minoriti, tidak menyumbang

Kumpulan mahasiswa Cina dan India pula semakin merosot pengaruhnya di bawah naungan kumpulan Aspirasi yang didominasi kumpulan TSB yang ultra-Melayu . Buktinya Chinese Community Council (CCC) dan Pertubuhan Agama Hindu (PAH) UKM gagal mendapat sokongan di kalangan mahasiswa dengan hanya calon siswi Aspirasi berbangsa Cina yang memenangi kerusi. Itu pun di kerusi fakulti tahun 3/4. Ini juga menyaksikan seramai empat orang siswa wakil CCC dan seorang dari PAH ditolak oleh majoriti mahasiswa UKM. 

Bagi penulis sekali imbas, ia nampak lebih kepada sentimen perkauman yang masih gagal dikawal oleh kempen-kempen sepanjang PRK. 

Calon-calon CCC dan PAH kelihatan pada kebanyakan masa berkempen dalam kelompok mereka sendiri termasuk di kelas-kelas dan kawasan umum. Malah, sebuah risalah tertulis " KAMI MINORITI tetapi kami mewakili MAJORITI mahasiswa " seakan-akan mengiakan telahan awal CCC dan PAH tidak mendapat bantuan sokongan penyokong Aspirasi dan bakal ditolak dengan teruk dalam sesi pemilihan kali ini.

Kepada kepimpinan Aspirasi sewajarnya melihat perkara ini amat perlu dibincangkan secara serius jika tidak mahu CCC dan PAH 'melompat parti' dalam pemilihan MPP akan datang. Kepada kepimpinan GMUKM pula harus mengambil kesempatan kemenangan yang dianugerahkan ini untuk lebih toleransi dan berbaik-baik dengan kepimpinan PAH dan CCC demi 'politik nilai' yang dilaung-laung sebelum ini.


CyberTrooper UMNO tidak membantu PRK

Kelibat jentera media maya yang diketuai Tun Faisal bin Ismail yang merupakan Ketua Unit Biro Media Baru UMNO yang mengasaskan MyMahasiswa dan PemikirPolitik.blogspot juga gagal menarik perhatian mahasiswa. Biarpun terdapat beberapa polemik yang ditimbulkan menjelang hari pembuangan undi di UKM, kerja keras daripada jentera cybertrooper yang memfokuskan UKM dan UM masih gagal memberi kesan. 

Polemik-polemik yang ditimbulkan pula didapati sukar difahami khususnya bagi mahasiswa tahun satu yang baru beberapa hari menjengah kampus besar kedua-dua Universiti, mengakibatkan undi tetap dibuang ke kotak calon pro-mahasiswa.

Penulis juga melihat Ops 20/20 yang digagaskan tetapi kemudiannya bocor tak bertampal akhirnya terpaksa dilupakan dan dibakulsampah oleh pengasasnya yang juga bekas aktivis TSB UKM. 

Mungkin ada eloknya pemimpin bergelar Datuk itu kini kembali mengatur dengan 'orang-orang baru' ; bukan 'jentera pencen' yang berpenghuni di JPPel itu..


GMUKM perlu bermuhasabah

Penulis menginsafi firman Allah di dalam surah Al-Nasr (Pertolongan); Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. 

Kepimpinan GMUKM yang rata-rata berimejkan pendokong Islam; ustaz dan ustazah (boleh dikatakan kesemuanya menganggotai ISIUKM- sebuah badan dakwah di UKM) sudah semestinya amat rapat dengan ayat di atas, sewajarnya turut bersama-sama menginsafi bahawa kemenangan yang dikurniakan bukan milik mutlak mereka. Di penghujung ayat Al-Nasr di atas turut mengingatkan bahawa 'ucapkanlah tasbih dan mintalah ampun' buat peringatan semua calon yang memenangi PRK baru-baru ini. 

Kepimpinan GMUKM juga kini wajar berani membawakan suara-suara mahasiswa setelah sepenggal 'bereksperimen' di bawah kepimpinan LT M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi dalam kabinet PMUKM sesi 2010-2011. Biarkan nista daripada pihak pentadbiran Universiti ataupun tindak-tanduk kurang senang masyarakat politik di luar sana yang cemburu akan kemenangan kalian kali ini. Datuk-datuk atau datin-datin itu sudah bisa bergaji puluhan ribu sebulan, tidak akan mengerti apa erti 'perjuangan mahasiswa'. 

Seharusnya kalian GMUKM yang memimpin PMUKM sekali lagi penggal ini membuktikan benar kata Pak Ungku Aziz; "Belajar sambil mencabar, pelajaran tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak kan maju tanpa pemimpin berpengalaman dan terpelajar" 

Sokongan mahasiswa yang dijelmakan oleh pengundi-pengundi yang juga rakan-rakan mahasiswa kalian wajar diinterpretasi sebagai amanat yang wajib ditunaikan sedaya mungkin. 

Jumlah pungutan yang agak besar di kolej-kolej kediaman bersaiz sederhana seperti di Kolej Aminudin Baki (KAB), Kolej Antarabangsa Ibu Zain (KAIZ) dan Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) khususnya bagi kerusi-kerusi Umum wajar dilihat jentera sebagai satu sokongan padu mahasiswa kepada GMUKM. Kepergian kempen-kempen GMUKM di kolej berkapasiti besar iaitu Kolej Pendeta Za'ba(KPZ) dan Kolej Keris Mas (KKM) sebelum ini wajar dinilai semula walaupun kedua-dua kolej juga turut menyumbang undi yang besar kepada kemenangan calon-calon GMUKM.

Di samping itu Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) dan Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) juga sewajarnya mendapat perhatian yang agak penting oleh kepimpinan GMUKM dan PMUKM selepas ini, apabila terdapat kemerosotan dari segi peratus mengundi calon-calon GMUKM dan peratus keluar mengundi sendiri di kedua-dua kolej besar tersebut.


Aspirasi, GMUKM perlu bersatu

Biarpun agak kontroversi di akhir kalam ini, penulis selaku pemerhati bebas yang baru melangkah ke alam pelajar siswazah kini amat mengharapkan akan ada penyatuan di antara kumpulan Aspirasi dan GMUKM. Biarpun bukan secara ideologi perjuangan di dalam kampus, penulis melihatkan akan perlunya ahli-ahli dan kepimpinan kedua-dua kumpulan untuk bersama-sama mengatur aktiviti luar kampus seperti pertandingan futsal atau paintball di atas kapasiti kumpulan masing-masing.

Memetik kata-kata salah seorang pensyarah kelas penulis yang berjenaka mencadangkan agar kedua-dua jentera kumpulan mengadakan pertandingan memancing di Tasik Fakulti Kejuruteraan UKM, penulis melihat ada benarnya maksud kata-kata pensyarah tersebut yang mengimpikan anak muridnya menolak fahaman sempit dalam berpolitik untuk bersatu menggapai maksud sebenar 'politik nilai'.


Rahmann Setpol

Tarikh : 28 September 2012
Bandar Baru Bangi.

Monday, 12 November 2012

MPP UiTM Diplomatik! Mahasiswa Semakin Terabai

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Sekali lagi Middle Voices ingin menyampaikan kekecewaan mahasiswa Universiti Teknologi MARA apabila badan eksekutif pelajar universiti itu bersifat dingin dan begitu kondusif dengan keadaan sekeliling kampus sehingga gagal mendekati mahasiswa UiTM setelah menerima mandat hampir 2 bulan sebaik Pilihan Raya Kampus itu selesai.

Menurut sumber, MPP UiTM yang telah memulakan tugas resmi pada 28 September lalu masih gagal menemui pembuang undi selain menjalankan program berfokus kepada jalinan hubungan diplomatik antara mereka dengan Jawatankuasa-jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Ahli-ahli MPP daripada setiap kampus cawangan.

Terbaru, aktiviti Road Tour Kolej, dan Kursus Pengurusan Organisasi (Esklusif) dalam kalangan MPP setiap cawangan UiTM yang dijalankan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur sekaligus mencatatkan sejarah berulang kembali apabila jelas pengulangan tradisi MPP 2011/2012 yang gagal medekati mahasiswa sebaik memegang pucuk kepimpinan bermula dengan pembinaan hubungan diplomatik.

Menurut sekumpulan pelajar yang menghubungi rakan Middle Voices, MPP seharusnya mendekati pelajar dengan menganjurkan Salam Ukhwah yang merupakan program tradisi MPP sebelum kepimpinan Farid Zuhri sekaligus mendengar permaslahatan dan keluhan hati mahasiswa daripada pelbagai aspek dan bukannya mengatur pertemuan dengan JPK yang tidak bersifat mendalami permasalahan mahasiswa di universiti itu.

YDP MPP UiTM, Azraful
Soalnya lagi, "Apakah JPK yang ditemui mendekati pelajar dan mendalami setiap permasalahan kumpulan pelajar sehingga mereka disasarkan untuk perjumpaan pertama sebaik MPP dilantik secara resmi?,"

"Apakah mahasiswa UiTM tidak lagi layak untuk dikumpulkan seperti yang berlaku sebelum ini untuk melontarkan suara mereka secara terus kepada MPP melalui program Salam Ukhwah?,"

Tambah mereka lagi apabila ditanya tentang KPO yang dijalankan dan dikategorikan eksklusif mereka menjawab, "MPP buat KPO duduk di hotel dengan suasana yang eksklusif. Adakah kita turun membuang undi supaya mereka boleh duduk disana berhari hari? Apa mereka buat sampai program percuma jumpa pelajar dalam satu perhimpunan tak boleh buat, tapi program kondusif di hotel boleh anjur?,"

Selain tidak berpuas hati dengan kegagalan MPP UiTM mengatur perjumpaan dengan pelajar universiti itu, Middle Voices turut dimaklumkan bahawa satu lagi aktiviti tradisi yang sentiasa dilaksanakan telah ditunda oleh badan eksekutif itu sebaik mencapai kata putus tidak sempat untuk berbuat demikian kerana sibuk.

Lain;

Seorang lagi pelajar yang menghubungi Middle Voices semalam memberitahu bahawa 'Voice Of Student Leader' yang dijadualkan menemui pemimpin-pemimpin pelajar kampus itu pada 17 November ini DITUNDA dengan alasan tidak sempat, sibuk dan kekurangan tenaga penggerak.

"Saya dapat maklumat, Voice Of Student Leader tangguh..jadi saya call YDP MPP, katanya kekurangan tenaga penggerak selain terpaksa mengendalikan MDS bagi kemasukan pelajar baru intake diploma..." ujarnya kepada Middle Voices.

Tambahnya lagi, KPO yang dijalankan hanya untuk menjalin hubungan diplomatik akhirnya telah mengabaikan mahasiswa UiTM yang ketandusan ruang kerana akhir akhir ini kampus itu bukan sahaja menghadapi masalah, malah nyawa sekumpulan mahasiswa di universiti itu hampir diambang maut hanya kerana masalah dan konflik tradisi berkenaan bas Trans Rengit gagal diselesaikan.

Konflik bas UiTM, dan Trans Rengit, GMM ada laporannya.

Seterusnya, apabila ditanya akan tarikh terbaru bagi menganjurkan program Voice Of Student Leader tersebut, pelajar itu hanya menjawab dengan kesal.

"Saya tanya dia, YDP bila boleh? dia kata next semester... baik tak payah buat, last semester punya masalah pun tunda sebab MPP Farid tak buat minit dan tak hantar pada TNC..inikan pula masalah last sem campur sem ini...nak tunda hingga sem depan..Apa ni?," katanya yang berang bercampur kecewa.

Sebelum ini, GPMS UiTM dilaporkan pernah mengatur perjumpaan sulit antara persatuan-persatuan dalaman secara underground untuk mengumpulkan idea bagi menganjurkan program bagi pihak MPP kerana bersetuju bahawa MPP universiti itu lebih mementingkan nilai dan suasana kondusif berbanding berpenat lelah menjalankan tanggungjawab sebagai badan perwakilan pelajar.

Prologue: Middle Voices melihat perihal kelewatan MPP UiTM yang gagal menemui pelajar setelah hampir 2 bulan memegang mandat sebagai satu peristiwa malang bagi mahasiswa UiTM kerana pisang berbuah dua kali.

Setelah mahasiswa UiTM dikecewakan dengan MPP yang memegang mandat percuma pada sesi yang lalu kini muncul pula barisan kepimpinan yang mengikut tradisi dengan mengabaikan atau menangguh-nangguhkan prihal kebajikan pelajar selain mengutamakan perjumpaan yang tidak-tidak.

Nasihat Middle Voices buat MPP UiTM, jalankanlah tugas anda dengan mengutamakan mereka yang mengundi anda, dan bukan mereka yang menjadi pengantara kepada anda kerana mahasiswa UiTM perlukan barisan yang cekap dan bukannya barisan yang 'sibuk' sebagai alasan.

Natijahnya, benar mahasiswa UiTM hanya merasai terabai sedangkan mereka yang diundi sedang enak sejuk menyedut penghawa dingin di corong corong Air Conditioner Hotel tatkala bersidang KPO.

#Barah jangan dibiar sehingga bernanah. Mungkin wajar kiranya, GMM isytihar pergerakan mereka sebagai Pro M UiTM secara resmi selain bergerak secara underground...agar wujud kumpulan penegur MPP UiTM.

Wednesday, 7 November 2012

UiTM; Tanda Putera Batal Tayang

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Shah Alam dekat Universiti Teknologi MARA semalam mengutuskan bahawa tayangan eksklusif filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba tidak akan ditayangkan berikutan arahan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Finas dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, KPKK berkehendak akan sedemikian.

Menurut salah seorang pelajar universiti itu, tayangan ekslusif ini terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan diskusi bersama pengarah filem, Shuhaimi Baba pada malam yang sama.

Pelajar itu yang merupakan mahasiswa Fakulti Filem, Teater dan Animasi selain merangkap urusetia yang terlibat dalam anjuran Malam Promosi Filem Tanda Putera turut mejelaskan bahawa tuntutan wang pembelian tiket boleh dibuat pada hari yang sama dan diskusi yang digantikan adalah percuma.

"kepada semua yang telah membeli tiket tayangan Tanda Putera, anda bolehlah membuat tuntutan pulangan wang pembelian tiket di Dewan Sri Budiman pada 8 November ni dan kaunter akan dibuka bermula daripada jam 1 tengahari,"

"Saya bagi pihak urusetia memohon maaf atas segala kesulitan, dan jika anda semua menyokong tayangan filem ini, datanglah beramai-ramai pada malam tersebut kerana akan diadakan diskusi bersama Shuhaimi Baba dan kemasukan adalah percuma," kata pelajar itu yang kesal dengan pembatalan tayangan filem tersebut.

Ketika ditanya akan kerugian, pelajar itu hanya menjawab, "Pesona Pictures akan membayar ganti rugi kepada penganjur,".

Middle Voices sempat menemubual seorang lagi daripada penganjur tayangan tersebut yang menjalankan kerjasama dalam mempromosikan tayangan ekslusif di universiti itu, menurutnya;

"saya amat kecewa dengan pembatalan tayangan Tanda Putera kerana ia merupakan sebuah filem yang berasaskan nilai persahabatan dan tragedi 13 Mei, peristiwa berdarah hanyalah sebahagian daripadanya namun ditakuti pihak yang enggan mempertontonkan sejarah dan fakta sebenar." 

Tambahnya lagi, pembangkang yang takut akan tayangan filem ini sebenarnya memperbodohkan diri mereka kerana jelas akan ketakutan mereka kepada filem yang bernilai ringgit malaysia sepuluh ini kepada mahasiswa UiTM.

"kami mahukan filem ini ditayangkan dan bukan ditangguhkan buat kali kedua," katanya lagi sambil meluahkan rasa tidak berpuas hati kepada pihak yang menghalang tayangan filem ini termasuk Finas dan KPKK.

Sebelum itu, tayangan filem Tanda Putera yang dijadualkan di layar pawagam Malaysia pada 13 September 2012 telah dibatalkan dan dijadualkan akan ke panggung pada ketetapan tarikh 15 November 2012. 

Namun, keputusan terkini daripada Finas dan KPKK menangguhkan tayangan filem tersebut sekali lagi dan menganggarkan tayangannya kepada umum pada tahun hadapan.

Mengikut sumber, filem Tanda Putera yang mengisahkan persahabatan dan pengorbanan dua orang pemimpin yang merupakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika peristiwa 13 Mei 1969 peristiwa hitam telah mendapat tentangan daripada parti politik pembangkang terutamanya DAP.

Filem tersebut yang berasaskan fakta yang merujuk kepada Laporan Majlis Gerakan Negara, MAGERAN dilaporkan ditakuti DAP dan pembangkang yang lain kerana bakal membogelkan mereka sebagai punca berlakunya rusuhan kaum pada tragedi pertumpahan darah selepas menerima kemenangan besar buat pertama kalinya selepas Pilihan Raya Umum pada waktu itu.

Walaupun PAS dan Keadilan tidak terlibat, namun pembogelan daripada filem itu bakal memberi kesan terhadap pentejermahan undi penyokong mereka sekiranya tayangan itu berjaya menjelaskan peristiwa sebenar kepada umum.

Prologue: Middle Voices melihat bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seakan-akan tidak mempunyai pendirian yang tetap kerana menunda tayangan filem ini berkali-kali seolah-olah akur dengan kehendak pembangkang.

Selain itu, Middle Voices juga menganggap bahawa tindakan KPKK yang menangguhkan tayangan filem ini merupakan kesalahan besar KPKK selain daripada penerbitan lagu tema kemerdekaan "Janji Di Tepati" yang gagal diteliti sebelum dimuat naik yang akhirnya mendapat kritikan hebat daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Walaubagaimanapun, Middle Voices berharap agar KPKK membuat pertimbangan semula agar tayangan filem bersejarah ini dapat disegerakan agar rahsia kejahatan mereka yang terlibat sebagai punca tragedi hitam itu dapat dibogelkan kepada umum.

#Mahasiswa sokong Tanda Putera...