Tuesday, 20 March 2012

Dialog Pendidikan Bawa Perubahan Holistik

DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

BARU-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu siri dialog pendidikan akan diadakan di seluruh negara bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengumpul pelbagai pandangan dan cadangan daripada setiap lapisan masyarakat untuk menjadikan sistem pendidikan pada masa depan lebih dinamik dan menepati keperluan semasa.

Ini sebenarnya satu langkah terbaik dalam sebuah masyarakat demokrasi yang semakin berkembang dan turut bertanggungjawab dalam mencorakkan sistem pendidikan, kerana merekalah yang sebenarnya berhak menilai sejauh manakah kesannya.

Pada masa kini, masyarakat juga khuatir bahawa sistem pendidikan hanya berjaya melahirkan lebih ramai cerdik pandai tetapi tidak dapat mengekang masalah sosial. Masyarakat sudah menuding jari bahawa sistem pendidikan yang terlalu mementingkan kecemerlangan akademik melahirkan lebih ramai pelajar pintar tetapi kurang cerdas emosi, sosial dan nilai-nilai keagamaan. Ramai yang melakukan jenayah kolar putih berpendidikan tinggi manakala sebahagian kecil yang gagal dalam peperiksaan awam turut menyumbang kepada gejala sosial.

Kecerdikan seseorang itu dalam bidang pendidikan tidak banyak membangkitkan semangat sayangkan orang lain, dan kerana itulah pendidikan dilihat sebagai sesuatu yang gagal dalam membentuk diri seseorang sehingga menjadi manusia berguna. Konsep pendidikan yang dibentuk pada asalnya adalah untuk memberikan pengetahuan dan dengan pengetahuan itu seseorang mampu membentuk peribadi unggul serta menyumbangkan kepada masyarakat di sekelilingnya.

Dalam hubungan itu, seseorang yang berilmu bukan dilihat sebagai yang mempunyai kedudukan material yang banyak, bahkan dalam sesetengah keadaan ia amat daif sehingga terpaksa melakukan pelbagai bidang pekerjaan untuk menyara kehidupan. Tetapi mereka ini berjiwa kental dan sanggup mengembara untuk menambahkan ilmu pengetahuan tanpa memikirkan pangkat yang mampu diraih.

Imam Al-Ghazali ( 1058-1111M) merupakan seorang yang amat mencintai ilmu dan memahami bahawa tujuan pendidikan adalah 'membuka ufuk baru dalam pemikiran' kerana melihat bahawa ilmu kalam lebih banyak menimbulkan mudarat berbanding manfaat. Beliau yang berasal dari keluarga miskin di sebuah kampung di pinggir kota kecil bernama Tus, berhampiran bandar Meshad, dalam wilayah Khurasan membahagikan ilmu kepada dua, iaitu ilmu zahir dan ilmu batin.

Ilmu zahir meliputi ibadah dan muamalah manakala ilmu batin pula ialah ilmu yang boleh digunakan untuk membersihkan hati dari sifat tercela. Kemuncaknya ialah hati dihiasi dengan sifat terpuji. Berasaskan kepada pembahagian tersebutlah Al-Ghazali mengkritik keras mengenai ilmu kalam yang sedang berkembang pada zamannya. Pada dasarnya, ahli ilmu kalam ialah tokoh agama yang mencorakkan ajarannya dengan acuan akal dan cuba mengukuhkan akidah agama berdasarkan akal atau rasional.

Corak pendidikan berdasarkan ilmu kalam itu semakin berkembang sehingga melahirkan persoalan rasionalisme melampau dalam pelbagai bidang sehingga Al-Ghazali melihatnya sebagai suatu kekalutan falsafah yang berpotensi membawa manusia kepada kesesatan.

Golongan ini sentiasa bersandarkan kepada ilmiah dengan berbingkaikan kaedah penyelidikan berdasarkan akal sehingga membawa kepada lahirnya kumpulan yang tidak lagi mempercayai tuhan. Bagi golongan ini, Tuhan tiada kaitan dengan penentuan kehidupan, kerana itulah tuhan tidak wujud dalam diri manusia. Kumpulan ini sebenarnya semakin membesar dan masih wujud hingga kini.

Malaysia turut menerima kesan daripada perkembangan itu apabila ada segelintir mereka yang berpendidikan tinggi begitu taksub dengan idea kebebasan dan liberalisme. Fahaman berkenaan diserap ke dalam pelbagai bentuk kehidupan sehingga ada seseorang pernah mendakwa "apa salahnya dengan mereka yang atheis'' - atas alasan mereka yang beragama turut melakukan jenayah seperti menipu, salah guna kuasa, rasuah dan adakalanya sanggup membunuh.

Atas kesedaran itulah juga mungkin mendorong perombakan semula sistem pendidikan Malaysia secara lebih holistik, bukan sekadar memadankan keperluan semasa bahkan membolehkan setiap mereka yang melaluinya mampu membezakan corak kehidupan yang lebih baik dan boleh membina manusia yang baik.

Dalam sistem pendidikan sekarang, meskipun tertera Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang cuba menghubung-jalinkan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelektual, disebabkan sistemnya lebih terarah kepada pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka nilai emosi dan rohani semakin terpinggir.

Nilai-nilai emosi yang boleh melahirkan rasa bersalah apabila melakukan sesuatu tindakan semakin berjauhan sehingga melahirkan segelintir mereka yang berpendidikan tinggi sanggup menipu demi mendapatkan kenaikan pangkat atau menjadikan sindrom penafian bagi menutupi setiap tindakan tidak bermoral dan beretika.

Kekontangan rohani turut membawa manusia kehilangan kasih sayang antara sesama manusia dan kerana itulah ada kalanya mereka sanggup melakukan tindakan merasuah demi mencapai sesuatu tujuan. Dari segi politik pula, golongan inilah yang sebenarnya sanggup melakukan apa sahaja bagi memperoleh kuasa dan mengekalkan kuasa. Perkembangan ilmu yang tidak berasaskan nilai-nilai rohani dan penghayatan agama inilah yang amat kita khuatir.

Maka, siri dialog pendidikan yang dijangka bermula pada April nanti dan kemuncaknya lahir satu blueprint pada akhir tahun ini akan dapat mengatasi kesan sampingan yang menghalang terbentuknya masyarakat beradab atau manusia yang berguna.

Peranan pendidikan bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan, bahkan memupuk jiwa yang beradab dan nilai-nilai rohani yang segar dalam naungan kebesaran Ilahi. Pendidikan bukan untuk membolehkan seseorang itu menjadi lebih bijak menipu, menyalahguna kuasa, merintis kaedah licik merasuah dan mengkhianati manusia lain.

Pengajaran daripada peradaban Barat yang telah memisahkan nilai-nilai spiritual menjadikan manusia maju dengan teknologi tetapi semakin kehilangan kesempurnaan sahsiah. Inilah yang sedang berlaku sehingga keruntuhan institusi yang mereka bangunkan dan banggakan sebagai sistem yang terbaik tersembam dengan noda dan keserakahan matlamat, jiwa dan emosi semakin kacau dan kecamuk.

Bahkan, ada benarnya apabila seorang sejarahwan Amerika Syarikat Ethan Watter, menilai peradaban yang berjaya mereka bangunkan itu sedang tenat dan sedang menanti kehancurannya, kerana sistem pendidikan mereka semakin kehilangan pegangan moral dan agama. Tentunya kita berbeza daripada mereka. Pendekatan dan sistem kita lebih mengakar; naluri yang memiliki nurani.

P/s: Belajar rajin-rajin.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!