Monday, 30 January 2012

USIM SEDIAKAN ZON BELAJAR DENGAN WIFI UNTUK MAHASISWA

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil langkah proaktif untuk menambah kemudahan bagi penuntutnya dengan mewujudkan Zon Belajar 24 Jam yang dilengkapi dengan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) di kampusnya di Nilai baru-baru ini.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda berkata, zon terletak di Pusat Komersial USIM itu diwujudkan bagi memudahkan penuntut mengulang kaji pelajaran dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi.

"Ruang khas atau Zon Belajar 24 Jam ini merupakan cadangan sekumpulan penuntut yang mengikuti Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS) USIM.

"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penuntut yang memberi cadangan bernas seperti ini dan kami amat mengalu-alukan sebarang idea baik yang mampu dimanfaatkan seluruh mahasiswa khususnya ke arah meningkatkan kecemerlangan akademik," katanya pada majlis pelancaran zon tersebut baru-baru ini.

Jelasnya, zon berkenaan yang mampu memuatkan 60 penuntut pada satu masa mula beroperasi pada 4 November lalu.

Beliau juga memberitahu kapasiti kelajuan wifi akan ditingkatkan dari 48 megabait sesaat (Mbps) pada waktu ini kepada 100 Mbps.

"Pada masa akan datang menerusi peruntukan yang ada, pihak universiti akan menambah bilangan kerusi dan meja serta mewujudkan kios makanan dan minuman ringan bagi memudahkan mahasiswa mengulangkaji pelajaran mereka di sini," ujarnya.

Inisiatif tersebut berjaya dilaksanakan setelah beberapa siri perbincangan dijalankan melibatkan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Bahagian Pengajian Pra-Siswazah (BPPS) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Sumber- Utusan Malaysia

p/s: diharap mahasiswa USIM dapat memanfaatkan lagi kemudahan yang ada dan seterusnya meningkatkan mutu pencapaian akademik.

No comments:

Post a Comment

Bahasa yang santun itu adalah lebih elok untuk mata yang memandang!