Wednesday 25 September 2013

Deligasi Indonesia Puji Malaysia di Nusantara

Jakarta dekat Universiti Indonesia, deligasi Indonesia memuji pendekatan mahasiswa Malaysia dalam menggunakan perspektif tertentu bagi mengubah tanggapan penuntut universiti itu terhadap hubungan Indonesia - Malaysia.

Perkara itu disebut oleh Saudara Angga Fauzan yang muncul sebagai peserta terbaik mewakili deligasi Indonesia dalam program Indonesia Leadership Camp - Nusantara Leadership Camp 2013 (ILC - NLC 2013) dekat sini pada 8 September lalu.

Jelas Fauzan, keserasian Indonesia - Malaysia dapat dirasai sepanjang perjalanan program dengan pembentangan usaha dan komitmen bersama selain menangkis tanggapan negatif terhadap hubungan Malaysia - Indonesia. 

Tambahnya lagi, dia amat tersentuh sebaik nyanyian lagu Negaraku didendangkan selepas nyanyian lagu kebangsaan negara republik Indonesia.

Menurut sumber, program tersebut berjaya mengumpulkan seramai 100 orang pelajar Indonesia, 20 daripada Malaysia dan 10 daripada Thailand dan Brunei yang ratanya merupakan pemimpin pelajar yang berprestasi dan berkomitmen tinggi.

Sementara itu, deligasi Malaysia yang diwakili oleh sekumpulan mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi Awam tidak kurang hebatnya apabila penuntut Universiti Teknologi MARA, Saudara Zaharin Haris muncul sebagai peserta ke-dua terbaik keseluruhan dalam mengimplimentasikan keusahawanan sosial dalam kalangan masyarakat.

Zaharin ketika disoal media Indonesia berkenaan cabaran ketika menghadiri program tersebut, dia hanya berseloroh sambil tersenyum menyatakan kegembiraan kerana diberi peluang berdiskusi bersama deligasi Indonesia selain mencetuskan perkongsian minda secara sihat dan positif.

Tidak berpada dengan itu, deligasi Malaysia sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di bumi Jakarta apabila dua kumpulan mereka muncul tempat ke-dua dan ke-tiga bagi kategori projek keusahawanan dan projek sosial.

Portal My Mahasiswa, dalam satu artikel yang ditulis oleh Saudara Fariz Razali, ada mengungkapkan keberhasilan ILC - NLC 2013 yang berjaya menangkis rasa curiga dalam kalangan deligasi Indonesia - Malaysia sebaik diberi peluang berkongsi pengalaman dan berdiskusi secara ilmiah sejurus mendorong kepada wujudnya tali silaturrahim yang baik antara dua negara.

Turut hadir memberi sokongan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Ezam Nor, serta beberapa orang kenamaan Indonesia dan Malaysia.

Program ILC - NLC 2013 yang berlangsung dari 4 sehingga 8 September itu adalah merupakan hasil kerjasama dari Direktorat Kemahasiswaan Universitas Indonesia, Institute of Leadership Development (ILeaD) dan Seketariat Transformasi Serantau (STS) Malaysia.

Saturday 14 September 2013

TNC HEP; Enrolmen UiTM 250,000 Pelajar, Satu Amanah

Shah Alam, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA, Prof. Dato' Dr Abdullah Mohamad Said beranggapan bahawa enrolmen pelajar UiTM yang ditingkatkan kepada 250,000 menjelang tahun 2020 adalah satu amanah yang harus dijayakan dengan sebaik mungkin.

"itu suatu amanah diberi kepada UiTM, kita harus buat sebaik mungkin, kita akan mesti jayakan dengan sebaik baiknya.

Abdullah ketika ditanya berkenaan kesediaan universiti melayu itu dalam menggalas amanah bagi menjayakan enrolmen tersebut, beliau dengan tenang menjawab;

"ini bukanlah perkara yang mengejutkan, sebab dulu kitapun dah diarahkan nak dinaik sampai 200,000 dan kita buat unjuran yang realistik berdasarkan kepada kemampuan infrastruktur dan juga sumber manusia yang ada di UiTM.

Jelasnya, peningkatan enrolmen tersebut sememangnya tidak menjadi suatu masalah dari aspek kemampuan infrastruktur dan sumber manusia memandangkan UiTM pernah diarahkan untuk meningkatkan jumlah pelajar kepada 200,000 sebelum ini.

Tambahnya lagi, penambahan tersebut sememangnya sesuai dengan falsafah paling penting di UiTM iaitu memberikan sebanyak mungkin ruang dan peluang kepada pelajar bumiputera.

Abdullah bercakap demikian kepada wakil media Middle Voices sebaik selepas pengumuman tentang perkara berkenaan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Saudara Azraful Azman ketika ditemui pada majlis yang sama menjelaskan bahawa penambahan enrolmen UiTM merupakan suatu perkara baik dalam membantu anak melayu bumiputera menyambung pelajaran ke universiti.

Jelasnya lagi, "umum mengetahui bahawa UiTM akan berkembang pesat dengan adanya kampus-kampus yang semakin membangun dan Insya Allah dengan penambahan tersebut boleh menempatkan semua mahasiswa mahasiswi uitm di dalam universiti yang dicintai ini.

Terdahulu YAB Dato' Sri Najib Tun Razak mengumumkan penambahan pengambilan pelajar UiTM meningkat kepada 250,000 menjelang 2020, seiring dengan penubuhan kampus kampus baru UiTM di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat dibawah salah satu daripada lima strategi yang difokuskan oleh beliau bagi memperkasakan ekonomi bumiputera iaitu memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Empat strategi yang turut diumumkan sebagai fokus ialah, mendaya modal insan bumiputera, mantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera.

Menurut sumber, lebih 5000 pengunjung bumiputera yang terdiri daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan hadir bagi mendengar pengumuman tersebut yang bakal memberikan harapan baru dan kebaikan dalam sistem ekonomi bumiputera itu sendiri.

Turut hadir mengiringi Najib dan isteri dalam majlis yang berlangsung di UiTM tersebut ialah YAB Timbalan Perdana Menteri beserta kabinet menteri yang lain.

Sunday 1 September 2013

Tanda Putera Harmoni dan Bukan Perkauman; Pandangan Pemimpin Pelajar

Bangi, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Saudara Shahrul Akmal Johari bersetuju bahawa tayangan filem Tanda Putera tidak bersifat perkauman atau negatif selain memaparkan kisah yang harmoni dan bersejarah.

"Tanda Putera tidak negatif atau bersifat perkauman, saya setuju ianya harmoni dengan kisah dua pemimpin negara ketika itu yang mana merupakan suatu sejarah.

Tambahnya lagi, tayangan filem patriotik seperti Tanda Putera perlu ada kesinambungan memandangkan ianya suatu filem bersejarah yang menjadi medium baru bagi mengajak generasi muda mengenali tokoh dan negarawan yang banyak berjasa.

"pandangan saya,  mahasiswa khususnya generasi muda perlu menghayati filem ini sebagai gambaran kepada peristiwa bersejarah serta mengenali tokoh dan negarawan yang banyak berkorban dan berjasa kepada negara.

"...perlu ada kesinambungan, jika dilihat pada penceritaannya tentang dua negarawan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, saya fikir jika selepas ini dibuat kisah tentang negarawan seperti bekas perdana menteri ketiga dan empat sudah cukup untuk bina kefahaman dan kesinambungan sebagai gambaran kepada mahasiswa...," katannya lagi.

Shahrul bercakap demikian kepada wakil media Middle Voices sebaik selepas menyambut kedatangan pengambilan pelajar baru di kampus Bangi, UKM dekat sini pada lewat petang tadi.

Ahli Majlis MPP UKM itu sempat mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia utamanya kepada parajurit tanah air yang banyak berjuang demi keamanan dan kedaulatan negara.

Sementara itu, Exco Penerangan dan Penerbitan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia, Saudari Anis Mohamed Khalidi turut melontarkan pandangan positif berkenaan tayangan filem Tanda Putera yang dilihat kontroversi oleh sesetengah pihak.

Jelas Anis, Tanda Putera sememangnya sarat dengan mesej selain mempertontonkan kisah dua negarawan yang berusaha menstabilkan keseimbangan sosial selepas peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969 selain merasai akan perit getirnya pengorbanan dua sahabat yang menderita dengan penyakit masing masing.

Tambahnya lagi, elemen sentimental berjaya disuntik dengan baik melalui tayangan filem tersebut kerana tidak dapat dinafikan bahawa dia merasakan kehilangan besar terhadap kedua pemimpin negara sebaik mengenali rapat watak yang dimainkan melalui penceritaan filem Tanda Putera.

Menurut Anis, dia berpendapat bahawa Tanda Putera adalah sebuah filem patriotik dan sesuai dijadikan filem pendidikan agar dapat memberi gambaran jelas tentang keadaan sebenar peristiwa berdarah 1969. 

Kebijaksanaan dan ketegasan pemimpin juga boleh dilihat dalam memastikan rusuhan kaum ketika itu tidak berlarutan selain dapat dijadikan contoh pada kepimpinan hari ini.

Anis ketika ditanya wakil media Middle Voices berkenaan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan filem Tanda Putera bersifat negatif dan perkauman selain memihak kepada parti Barisan Nasional, dia dengan tegas menjawab;

"Jujurnya, tidak ada satu perasaan negatif yang timbul setelah melihat adegan rusuhan kaum di dalam filem itu kerana ia turut memaparkan sudut pemahaman daripada kedua-dua pihak.

"saya yakin bahawa Tanda Putera tidak menyebelahi mana-mana pihak mahu pun parti politik seperti yang digembar-gemburkan.

"Saya turut menyukai jalan ceritanya yang tidak terlalu klise untuk sebuah filem tempatan," Tambah Anis dalam sebuah kenyataan yang dihantarkan kepada wakil media Middle Voices kelmarin selepas dihubungi untuk tujuan itu.

Sebelum itu, akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa filem Tanda Putera semakin mendapat sambutan selain laris di Pulau Pinang sebaik mula ditayangkan lewat dua hari daripada tarikh tayangan sebenar.

Selain itu, tinjauan wakil media Middle Voices mendapati banyak ulasan positif di laman sosial utamanya twitter berkenaan filem Tanda Putera dilontarkan oleh anak muda sebaik selesai menonton filem yang menjadi sebuah ketakutan oleh sesetengah pihak yang memanipulasikan tayangan filem tersebut.

Rata-taranya menjelaskan bahawa Tanda Putera langsung tidak menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia selain sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat secara umumnya.